PETALING JAYA: Sime Darby Bhd. telah melabur lebih RM120 juta untuk membuka Pusat Pengedaran 4S BMW Auto Bavaria terbaharu terletak di Balakong, Selangor.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Mustamir Mohamad berkata, pelaburan itu selaras dengan tahap keyakinan Sime Darby terhadap prospek dalam segmen automotive pada masa hadapan.
“Suntikan pelaburan itu juga selaras dengan rancangan pertumbuhan strategik syarikat dalam menyediakan kemudahan canggih di Balakong seperti pusat pengedaran 4S BMW di Tebrau, Johor dan Pusat 4S BMW di Ara Damansara.
“Majlis pecah tanah mencerminkan komitmen kami untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan untuk tempoh jangka panjang dalam negara,” katanya dalam kenyataan.
Majlis pecah tanah yang berlangsung di Balakong itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.
Turut hadir, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan dan Pengedar Prinsipal Auto Bavaria Balakong, Azrul Azman.
Sementara itu, de Visser memberitahu, BMW Group Malaysia mengenal pasti Balakong, Serdang, Cheras dan kawasan sekitarnya sebagai potensi baharu yang membolehkan jenama tersebut menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan ketika pasaran Lembang Klang terus berkembang.
“Auto Bavaria menjadi rakan pengedar penting kepada kami di Malaysia dan mereka adalah rakan kongsi premium dalam membantu BMW mencapai cita-citanya di negara ini,” katanya,
Sime Darby Auto Bavaria Sdn. Bhd. (Auto Bavaria) adalah anak syarikat bahagian automotif Sime Darby Motors.
Auto Bavaria Balakong berkeluasan lebih 243,342 kaki persegi itu terletak dilokasi strategik sepanjang Lebuhraya SILK yang menawarkan akses dan direka dengan konsep terbaharu BMW Retail NEXT.
Ia turut dilengkapi kemudahan selepas jualan yang luas dengan 30 ruang produktif, pusat badan dan cat serta BMW Premium Selection.
Kemudahan dua tingkat seluas 3,600 kaki persegi itu menampilkan bilik pameran yang mampu memaparkan sehingga tiga kenderaan dan ruang istirahat pelanggan di tingkat bawah serta pejabat pentadbiran di tingkat satu.
Pelanggan dan peminat BMW di kawasan sekitar boleh mengunjungi bilik pameran BMW yang terletak di sepanjang Jalan Tengah, Cheras Selatan 118. Ia dijangka akan dibuka kepada pelanggan pada suku pertama 2023. – UTUSAN










