PETALING JAYA: Kerajaan memerlukan sokongan ekosistem perniagaan yang kuat untuk terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara eksport peneraju di dunia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, negara terus menghadapi cabaran dalam kebolehsaingan eksport disebabkan ketidaktentuan ekonomi global.
Namun, kata beliau, negara perlu bertindak segera bagi menangani cabaran tersebut, baik melalui usaha galakan secara dalaman mahupun dengan sokongan ekosistem perniagaan.
“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) membangunkan Rangka Tindakan Perdagangan Kebangsaan (NTB).
“(Ia) sebagai dokumen strategik untuk terus mengevolusikan ekosistem perniagaan Malaysia dan meningkatkan kebolehsaingan eksport kita di pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempenan pelancaran NTB yang diadakan secara maya semalam.
Menurut Mohamed Azmin, walaupun berhadapan cabaran akibat pandemik Covid-19, prestasi perdagangan luar Malaysia masih pada tahap baik tahun ini.
Kata beliau, untuk lapan bulan pertama, perdagangan Malaysia meningkat 22.9 peratus kepada RM1.407 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Eksport meningkat 24.9 peratus kepada RM778.49 bilion dan import meningkat 20.4 peratus kepada RM628.29 bilion.
“Lebih perdagangan melonjak 48.2 peratus kepada RM150.20 bilion,” katanya.
Jelas Mohamed Azmin, perdagangan telah menjadi satu daripada pemacu utama pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan negara yang berjaya memupuk ekosistem mesra perniagaan mendapat manfaat paling banyak daripada aktiviti perdagangan antarabangsa.
Beliau turut menekankan, kerajaan memberi komitmen penuh untuk mencipta persekitaran yang subur untuk sektor eksport dan mampan bagi menghadapi cabaran mendatang. – UTUSAN










