Pengkomputeran Awan dalam pemasaran digital - Utusan Malaysia

Pengkomputeran Awan dalam pemasaran digital

PENGKOMPUTERAN Awan dapat membantu organisasi dan usahawan menjimatkan kos pengoperasian syarikat melalui aliran komunikasi maklumat kepada kakitangan, pelanggan dan prospek perniagaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Evolusi dan inovasi digital yang terus berkembang sejak beberapa dekat lalu telah ba­nyak mengubah persaingan industri dan trend gaya hidup masyarakat. Kini, penguasaan internet menjadi tunjang kepada sistem pengurusan dan peng­operasian sektor perniagaan, kewangan, perbankan, pendidikan, kesihatan serta pelbagai lagi sehinggalah kepada penggunaan peribadi. Antara landasan yang turut berkembang bersama evolusi digital ini adalah teknologi Pengkomputeran Awan atau Cloud Computing.

Kepentingan Pengkompute­ran Awan telah berkembang dengan lebih meluas sejak beberapa tahun ini kerana terdapat banyak kelebihan kepada pelbagai sektor industri dalam mengintegrasi sistem tersebut bersama infrastruktur Teknologi Maklumat (IT) dan pengkalan data organisasi. Bagi sektor perniagaan, gabungan Kecerdasan Buatan (AI) menjadikan Pengkomputeran Awan sebagai antara platform pilihan efektif dan selamat bagi menyimpan serta mengurus data secara dalam talian tanpa bergantung sepenuhnya kepada memori komputer atau cakera keras luaran.

Melalui kemudahan ini, sesebuah perniagaan dapat mengoptimumkan pengendalian pel­bagai data berorientasikan projek di semua peranti pintar dan media digital serta mudah untuk diakses oleh pihak terlibat de­ngan pantas dan efisien. Ini juga dapat meringankan bebanan software memory di samping mempercepatkan pro­ses membuat keputusan dan pelaksa­naan strategi terhadap daya saing digitalisasi pasaran yang semakin kompetitif.

Pengkomputeran Awan merupakan pembangunan teknologi penyimpanan data tanpa had berasaskan internet. Istilah Awan adalah metafora berdasarkan cara penyimpanan dan pengendalian perisian data raya yang boleh dicapai melalui pelayan internet oleh pemilik data. Perkhidmatan ini merangkumi beberapa kategori iaitu Perisian sebagai sebuah Perkhid­matan (Software as a Service – SaaS), Perkomputeran Utiliti (Utility Computing), Perkhidmatan Sesawang (Web Service – WS), Pelantar sebagai sebuah Perkhidmatan (Platform as a Services), Pembekal Khidmat Terurus (Management Service Provider – MSP), Perdagangan Perkhidmatan dan Integrasi Internet sepenuhnya.

Bagi menjelaskan secara mudah, Pengkomputeran Awan dapat membantu organisasi dan usahawan menjimatkan kos pengoperasian syarikat melalui aliran komunikasi maklumat kepada kakitangan, pelanggan dan prospek perniagaan serta mengurangkan kebergantungan terhadap keperluan perkakasan sistem komputer pejabat seperti kaedah konvensional. Ia menampung beban memori penyimpanan dan pemprosesan perisian merangkumi pengkalan data pengurusan dan operasi serta segala maklumat pelanggan dan prospek pasaran, merangkumi imej foto dan video bersaiz besar bagi tujuan pemasaran, periklanan serta promosi tanpa memerlukan ruang perisian fizikal di komputer, peranti dan pemacu pena. Kaedah ini lebih terjamin dari sebarang kerosakan perisian atau virus yang biasa berlaku pada perkakasan komputer dan elektronik fizikal.

Pengkomputeran Awan membolehkan pengusaha memuat naik sebarang data dalam skala tanpa had melalui kemudahan secara percuma dan berbayar. Antara khidmat yang menjadi pilihan di Malaysia adalah Google Cloud (iCloud), AWS Amazon Web Services, Oracle, Dropbox, OpenDrive, SoundCloud dan SafeSync. Kemudahan ini membolehkan pengguna mengakses segala data yang disimpan de­ngan mudah melalui pelbagai peranti dan telefon pintar pada setiap masa dan di mana sahaja.

Perisian data di Pengkomputeran Awan juga boleh diintegrasikan pada semua landasan digital seperti laman sesawang dan media sosial serta menyokong pelbagai keperluan pengendalian pejabat secara maya dan pembangunan halaman e-dagang. Ia juga memudahkan pemindahan maklumat tanpa perlu bertemu secara fizikal, malah membantu pemasaran dalam melancarkan komunikasi pelanggan dan prospek pada setiap masa.

Pengkomputeran Awan mem­punyai kelebihan yang patut dimanfaatkan dalam me­ningkatkan potensi perniagaan serta menjadi aset penting terhadap pemasaran digital untuk pelaksanaan strategi yang kos efektif. Ia merupakan kemudahan teknologi yang akan terus berkembang dalam evolusi digital kini dan masa hadapan.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN