TOKYO: Dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada paras tertinggi dalam 14 bulan berbanding euro semalam, ketika lonjakan harga tenaga mendorong kebimbangan terhadap inflasi yang dapat membantutkan pertumbuhan ekonomi sambil mendorong Rizab Persekutuan (Fed) untuk bertindak lebih cepat untuk menormalkan dasar.
Mata wang AS stabil pada AS$1.1558 berbanding euro setelah mengukuh kepada AS$1.1529 pada Rabu lalu untuk pertama kalinya sejak Julai tahun lalu.
Lapor Reuters, indeks dolar berubah sedikit kepada 94.188 dari hari Rabu, berikutan kenaikan hampir 0.5 peratus dalam dua sesi perdagangan yang terakhir.
Jelasnya, indeks mencecah paras tertinggi dalam setahun iaitu 94.504, pada minggu lalu. Bagi Yen Jepun pula, kebanyakannya berada pada tahap 111.375 berbanding dolar.
Menurutnya, semalam, minyak mentah telah naik ke paras tertinggi dalam tujuh tahun, sementara gas asli melonjak di Eropah selain harga arang batu daripada pengeksport utama turut melambung tinggi.
Ketua Penyelidikan di Broker Pepperstone, Melbourne, Chris Weston berkata, semua perbicaraan mengenai perdagangan dalam media sosial dan melalui pasaran yang luas telah berlangsung.
“Pedagang bimbang terhadap risiko stagflasi dan tertanya-tanya bagaimanakah bank pusat akan menangani peristiwa stagflasi yang didorong oleh kejutan bekalan,” katanya.
Ujarnya, pelabur juga gelisah terhadap perundingan siling hutang AS walaupun Senat Republik AS, Mitch McConnell, berkata pihaknya akan membenarkan pelanjutan had hutang persekutuan hingga Disember.
Sehingga kini, Fed berpendapat tekanan inflasi akan kekal buat sementara waktu dan kemungkinan akan mengurangkan pembelian bon bulanannya pada November, sebelum kadar faedah ditingkatkan. -AGENSI