PETALING JAYA: Kerajaan komited untuk menjadikan industri aeroangkasa sebagai penyumbang utama sektor pembuatan, sejajar dengan usaha negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti bernilai tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), industri tersebut dijangka menjana RM30 bilion pendapatan dan lebih 30,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.
Kata beliau, ia merupakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang akan membantu meningkatkan kemampuan rantaian bekalan pembuatan tempatan untuk terus maju,
“Strategi telah disediakan melalui pelbagai inisiatif seperti membangunkan ekosistem mampan, mengumpulkan dan memetakan aktiviti ekonomi, membangunkan sistem digital aeroangkasa dan melibatkan tenaga lestari.
“Pelaburan sektor swasta, khususnya yang mempunyai penekanan kukuh terhadap elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan diutamakan untuk melonjakkan pembangunan industri.
“Kami menjangkakan penyertaan dan kerjasama dari semua pemegang taruh, terutamanya dalam bidang pembangunan bakat, pelaksanaan strategi dan program serta penciptaan dan pemindahan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Siri Webinar RMK12: Melonjakkan Industri Aeroangkasa Malaysia dalam RMK12 yang diadakan secara maya semalam.
Menurut Mustapa, RMK12 turut menyasarkan untuk memperdalam kemampuan rantaian bekalan industri aeroangkasa.
Jelas beliau, kerajaan mahu memanfaatkan ruang yang ada dalam Program Kerjasama Industri (ICP) untuk membina kebolehan tempatan sekali gus memaksimumkan nilai perolehan kerajaan.
“Menuju ke hadapan, kami berharap ada penyertaan yang lebih baik dalam aktiviti pembinaan dan perekaan program pesawat, pegangan yang lebih besar dalam pembuatan aero global dan pasaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kemampuan yang lebih baik dalam avionik dan integrasi sistem,” katanya.
Mustapa berkata, Malaysia kini menunjukkan prestasi yang baik dalam industri aeroangkasa dengan 230 syarikat berkaitan aeroangkasa menyokong rantaian bekalan tempatan dan menjana RM16.2 bilion keseluruhan pendapatan pada 2019.
Kata beliau, ia menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa kedua terbesar di Asia Tenggara. – UTUSAN










