WASHINGTON: Beban hutang negara-negara berpendapatan rendah meningkat 12 peratus kepada rekod AS$860 bilion (RM3.59 trilion) pada 2020 ketika negara-negara di dunia menanggani krisis Covid-19 dengan pakej rangsangan fiskal, monetari dan kewangan, menurut laporan dikeluarkan Bank Dunia kelmarin.
Presiden Bank Dunia, David Malpass berkata, laporan itu menunjukkan peningkatan dramatik hutang yang dihadapi oleh negara berpendapatan rendah dan sederhana, dan menggesa langkah segera dilakukan untuk membantu negara terbabit mencapai tahap hutang yang lebih lestari.
“Kami memerlukan pendekatan komprehensif untuk masalah hutang, termasuk pengurangan hutang, penstrukturan dan peningkatan ketelusan.
“Tahap hutang yang mampan sangat penting untuk pemulihan ekonomi dan pengurangan kemiskinan,” katanya dalam laporan Statistik Hutang Antarabangsa 2022.
Menurut laporan itu, hutang luaran gabungan negara berpendapatan rendah dan sederhana meningkat 5.3 peratus pada 2020 kepada AS$8.7 trilion (RM36.28 trilion), memberi kesan kepada banyak negara di semua wilayah.
Jelasnya, kenaikan hutang luar negara mengatasi Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan pertumbuhan eksport, dengan nisbah hutang luar negara-ke-PNK, tidak termasuk China, meningkat lima peratus kepada 42 peratus pada 2020, sementara nisbah hutang-ke-eksport mereka melonjak kepada 154 peratus daripada 126 peratus pada 2019.
Laporan itu menunjukkan bahawa aliran masuk bersih dari pemiutang multilateral ke negara berpendapatan rendah dan sederhana meningkat kepada AS$117 bilion (RM487.89 bilion) pada 2020, tahap tertinggi dalam tempoh satu dekad.
“Pinjaman bersih ke negara berpendapatan rendah meningkat 25 peratus kepada AS$71 bilion, juga tahap tertinggi dalam satu dekad, dengan IMF dan pemiutang multilateral lain memberikan AS$42 bilion (RM175.14 bilion) dan pemiutang dua hala AS$10 bilion (RM41.7 bilion),” jelas laporan itu.
Ketua Ekonomi Bank Dunia, Carmen Reinhart berkata, cabaran yang dihadapi oleh negara-negara terbabit boleh menjadi lebih buruk disebabkan peningkatan kadar faedah.
“Pembuat dasar perlu bersedia menghadapi kemungkinan tekanan hutang ketika keadaan pasaran kewangan menjadi kurang mesra, terutama di pasaran negara dan ekonomi membangun,” katanya. – AGENSI










