PETALING JAYA: Syarikat telekomunukasi edotco Group (edotco) menganjurkan Pertandingan Rekabentuk Infrastruktur pertama di Asia dengan kerjasama Pusat Transformasik Komuniti Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UCTC-UKM).
Pertandingan terbuka kepada pelajar Tahun 3 dan 4 dan ijazah lanjutan kejurteraan yang sedang menuntut di universiti-universiti di negara ASEAN, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Jepun, Korea dan China.
Menurut edotco, pertandingan bertemakan `Infrastructure for Tomorrow: Designing the Future’adalah sebahagian daripada komitmen tahunan syarikat untuk menyediakan platform kepada golongan belia berhubung dengan pemimpin-pemimpin industri yang berpengalaman dan menerima pendedahan teknologi.
“Pertandingan tersebut telah dijalankan secara percubaan di Bangladesh pada tahun lalu untuk mengasah bakat dalam kalangan komuniti pelajar di negara tersebut dan telah disertai oleh 28 peserta dari 7 pasukan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif edotco, Adlan Tajudin berkata, sebagai syarikat menara yang beroperasi di seluruh rantau ini, edotco memahami betapa pentingnya usaha menggalakkan inovasi dan mendidik tentang kepentingan kemampanan dalam kalangan belia.
“Melalui pertandingan ini, kami berazam untuk menerajui inovasi di samping meningkatkan kemahiran para belia di seluruh Asia. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan edotco untuk membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan dan berkebolehan membina pelbagai teknologi generasi seterusnya untuk industri telekomunikasi,” katanya.
Tambah beliau, fokus teknikal pertandingan adalah untuk menggabungkan inovasi, kecekapan kos, kebolehlaksanaan dan kefungsian, serta penyelesaian yang mesra alam.
Sebanyak tiga pemenang dengan idea yang paling inovatif akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah AS$5,000 (RM20,800). – UTUSAN










