PETALING JAYA: Memasuki suku keempat tahun kewangan 2021, Cagamas Berhad mengumumkan satu lagi penerbitan Kertas Komersial Islamik (ICP) tiga bulan bernilai RM300 juta.
Menurut perbadanan gadai janji nasional itu, hasil penerbitan tersebut akan digunakan untuk pembelian pembiayaan dalaman Islamik daripada sistem kewangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, pihaknya gembira dengan penerbitan baharu itu yang menunjukkan minat berterusan pembeli terhadap kertas jangka pendek Cagamas walaupun pasaran pendapatan tempatan dan global ditekan jangkaan pengumuman peruncingan aset oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dalam mesyuaratnya pada November ini.
““Harga ICP ini ditetapkan sejajar dengan Kadar Ditawar Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tambah lima mata asas (bps), atau bersamaan dengan 1.99 peratus berasaskan ketetapan KLIBOR pada tarikh harga.
“Sebarannya 23 bps di atas Bil Perbendaharaan Islam Malaysia sepadan,” katanya dalam kenyataan dekat sini.
Menurut Cagamas, penerbitan tersebut menjadikan jumlah penerbitan agregat syarikat itu berjumlah RM12.25 bilion untuk tahun ini.
Katanya, terbitan itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya apabila matang merupakan obligasi tidak bercagar syarikat yang bertaraf pari passu bersama semua obligasi tidak bercagar lain untuk syarikat itu.
“Ia akan disenaraikan dan boleh didagangkan di bawah Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip (SSTS),” katanya.
Julai lalu, Cagamas menerbitkan ICP tiga bulan dengan jumlah sama.
Terdahulu, pada Januari, syarikat itu mengumumkan penerbitan agregat bernilai RM710 juta merangkumi ICP sejumlah RM300 juta dan Kertas Komersial Konvensional (CCP) sebanyak RM300 juta.
Ia juga termasuk Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) Setahun RM55 juta dan juga CMTN tiga tahun pada kadar RM55 juta. – UTUSAN










