LONDON: Ia bermula dengan e-mel mengenai tawaran diskaun berus gigi elektrik, yang akhirnya mengubah hidup Anna.
Hanya beberapa minit selepas dia memasukkan butiran kad banknya, Anna mendapat panggilan daripada bank memaklumkan bahawa transaksi penipuan sedang dilakukan.
Keesokannya, Robert Clayton daripada pihak berkuasa kawalan penipuan kewangan Britain menghubunginya memaklumkan mereka sedang menjejaki penjenayah bertanggungjawab, namun Anna berdepan risiko kehilangan wang simpanannya.
Bagaimanapun, tidak ada berus gigi. Tidak ada jabatan penipuan, tidak ada Robert Clayton. Mereka semua adalah sebabahagian daripada sindeket penipuan bank atau `bank scam’ yang secara beransur-ansur `meragut’ simpanan Anna.
Dalam beberapa minggu sahaja sindiket itu telah menyebabkan mangsa kerugian kira-kira 200,000 pound (AS$270,000/RM1.11 juta).
Britain merekodkan kerugian sebanyak 754 juta pound (AS$1 bilion/RM4.15 bilion) dalam enam bulan pertama tahun ini akibat sindiket berkenaan, meningkat 30 peratus dari tempoh yang sama 2020, menurut data industri perbankan UK Finance. Jumlah itu meningkat lebih daripada 60 peratus dari 2017, ketika data itu mula diperkenalkan.
Menurut Reuters, berdasarkan data kewangan United Kingdom (UK) dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS), berdasar kadar penipuan per kapita, AS mencatatkan kes lebih tinggi iaitu kira-kira tiga kali ganda.
“Penipuan paling canggih cenderung bermula di UK, dan dua tahun kemudian berpindah ke AS dan seluruh dunia,” kata Naib Presiden Strategi Produk di firma keselamatan siber BioCatch berpusat di AS, Ayelet Biger-Levin.
Beliau berkata, dalam 12 bulan terakhir menyaksikan lebih banyak serangan penipuan dengan pelanggaran data juga meningkat, menunjukkan lebih banyak maklumat peribadi dapat diakses dan disalahgunakan oleh penjenayah.
Pusat Jenayah Ekonomi Nasional (NECC) bersetuju dengan penilaian sektor perbankan bahawa penipuan merupakan ancaman terhadap keselamatan Britain.
HSBC yang beroperasi di Amerika Syarikat dan Asia, telah mengupah lebih 300 kakitangan dalam setahun untuk mengukuhkan operasi antipenipuan di peringkat domestik, selain meningkatkan perbelanjaan tahunan sebanyak 40 peratus untuk menangani sindekit penipuan itu membabitkan lebih ramai pelanggan.
“UK adalah pusat kegiatan penipu. Pada masa ini UK menyumbang sekitar 80 peratus daripada kerugian penipuan peribadi global kami,” katanya.- AGENSI










