BANGI : Pusat Kebudayaan Universiti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan Program Deklamasi Puisi Malaysia Madani UKM 2026 bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Panggung Seni UKM, Bangi sebagai satu inisiatif bagi mengangkat dan melestarikan seni lisan khususnya deklamasi puisi Selasa ini.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Penganjur, program berkenaan bertujuan menyemai semangat cinta akan negara, jati diri, dan semangat patriotisme khususnya dalam kalangan generasi Z agar pemupukan minat serta rasa cinta mendalam terhadap bahasa kebangsaan dan sastera Melayu semakin kukuh.
“Selain itu, program ini diharap dapat memberikan ruang dan pendedahan kepada peserta untuk tampil beraksi di khalayak ramai dengan gaya puitis yang kreatif.
Selain berperanan sebagai bentuk platform persembahan, program ini turut menjadi serampang dua mata bagi membentuk hubungan dan jaringan kerjasama strategik antara kumpulan pemuisi nasional, tokoh seni, Sasterawan Negara, Alumni UKM bersama komuniti kampus sekali gus memperkukuhkan usaha melestarikan seni pengucapan sastera di peringkat lebih tinggi melalui jambatan seni dan budaya.
Pada masa yang sama, penganjur turut menyasarkan penghasilan dokumentasi serta liputan media berkaitan program ini sebagai usaha berterusan untuk mempromosikan dan memastikan kelangsungan seni deklamasi puisi sebagai warisan budaya yang bernilai tinggi yang bakal mengangkat tema “Keperwiraan Bangsa”.
Program ini dijangkakan bakal menampilkan persembahan deklamasi puisi dan dendangan lagu puisi oleh Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Sasterawan Negara Datuk Rahman Shaari selain artis Alina Hasan yang akan turut menyampaikan lagu puisi selain barisan pemuisi Nasional, pemuisi UKM, alumni dan pelajar UKM.










