Arab Saudi sedia hadapi Houthi sendirian tanpa bantuan AS

Arab Saudi sedia hadapi Houthi sendirian tanpa bantuan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak merancang melancarkan tindakan ketenteraan secara langsung terhadap kumpulan Houthi di Yemen, namun terus membantu Arab Saudi menerusi sokongan perisikan dan penentuan sasaran, menurut dua pegawai AS.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata pendirian Washington boleh berubah sekiranya ancaman terhadap laluan perkapalan di Laut Merah semakin meningkat, lapor ABC News pada Jumaat.

Ketua Pemerintah Pusat Tentera AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper, mengadakan rundingan di Arab Saudi pada Khamis sebagai sebahagian daripada usaha Washington menyokong Riyadh, kata salah seorang pegawai.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, turut mengadakan dua panggilan telefon dengan Presiden Donald Trump pada hari sama.

Menurut pegawai itu, Mohammed menggesa penglibatan ketenteraan secara langsung AS dalam menangani ancaman Houthi, namun tidak menyifatkannya sebagai sesuatu yang wajib.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata, Washington ketika ini memberi tumpuan kepada kepentingan keselamatan negara, termasuk memastikan kebebasan pelayaran di Laut Merah.

“Amerika Syarikat memberi tumpuan kepada melindungi kepentingan keselamatan negara teras kami, termasuk memastikan kebebasan pelayaran di Laut Merah, selain memperkasakan rakan kongsi serantau untuk memimpin usaha mengurus dan menyelesaikan cabaran keselamatan serantau,” katanya.

Seorang lagi pegawai berkata, Riyadh memberi isyarat bersedia melancarkan serangan besar-besaran terhadap Houthi secara bersendirian jika keadaan memerlukan, namun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

Pegawai berkenaan berkata, Houthi dilaporkan menawan pantai barat Yemen pada awal Jumaat, namun tentera kerajaan dan sekutu masih meneruskan tentangan, menyebabkan keadaan masih belum dapat dipastikan tanpa campur tangan pihak luar.

Yemen kembali menyaksikan peningkatan ketegangan ketenteraan antara tentera kerajaan dan Houthi sejak awal Julai, selepas keadaan agak reda selama beberapa tahun susulan gencatan senjata yang bermula pada 2022.

Houthi menguasai ibu negara, Sanaa, serta sebahagian besar wilayah utara dan barat Yemen sejak September 2014, manakala kerajaan dan pasukan sekutunya menguasai kawasan di selatan dan timur negara itu.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×