AirAsia terima pembiayaan RM500 juta - Utusan Malaysia

AirAsia terima pembiayaan RM500 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad menerima kelulusan untuk 80 peratus pinjaman yang dijamin sehingga RM500 juta daripada Danajamin Nasional Berhad melalui Skim Jaminan Prihatin Danajamin.

Skim tersebut merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Malaysia berikutan pandemik Covid-19.

Menurut syarikat penerba­ngan tambang rendah itu, pinjaman tersebut telah diluluskan oleh pemberi pinjamannya di bawah kemudahan pembiayaan bersindiket de­ngan jaminan oleh Danajamin melalui entiti milik penuh Kementerian Kewangan, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Katanya, pembiayaan ber­sin­diket tersebut adalah untuk modal kerja yang akan menampung kos kakitangan dan perbelanjaan operasi utama seperti penyelenggaraan pesawat.

Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berkata, kelulusan daripada kerajaan itu merupakan sokongan kuat terhadap kemampuan AirAsia Group untuk pulih dengan lebih cepat dan memacu keseluruhan strategi pengumpulan dana dalam persediaan syarikat itu untuk kembali beroperasi di semua pasaran utamanya.

“AirAsia merupakan pe­nyum­bang utama ekonomi Ma­laysia dengan menyediakan rangkaian penerbangan untuk memudahkan aktiviti pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

“Kami juga memainkan pera­nan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan yang luas dan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatanb, terutamanya melalui usaha digital kami,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Kamarudin, pi­haknya yakin perkhidmatan yang ditawarkan AirAsia akan pulih dalam waktu terdekat berdasarkan perkembangan vak­sinasi semasa yang memungkinkan sempadan antarabangsa dan domestik dibuka.

Kata beliau, negara-negara di seluruh dunia, termasuk rantau ini telah mula membuka semula sempadan antarabangsa berikutan kadar vaksinasi yang tinggi.

“Kadar vaksinasi dewasa di Malaysia kini hampir 90 peratus dan sempadan domestik dijangka akan dibuka setelah kita mencapai sasaran itu.

“Gelembung perjalanan Lang­kawi merupakan kejayaan besar sejak ia dilancarkan dan kami telah melihat permintaan yang luar biasa menerusi 90 perkhidmatan penerbangan seminggu dari 16 September.

“Kami juga telah melihat pembukaan secara beransur-ansur di Thailand, Indonesia dan Filipina di mana kami kembali beroperasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN