PETALING JAYA: Lagu Sifar yang menjadi runut bunyi (OST) filem Warkah terbitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkesoi) pada 2019, muncul juara di International Media Festival For Prevention (IMFP) di Toronto, Kanada.
Lagu yang diterbitkan dengan kerjasama Perkeso dan komposer muda, Asfan Shah, Lady D dan Tripdisk serta penyanyi rap Kmy Kmo mengungguli kategori Music Is Key, iaitu satu daripada enam kategori dipertandingkan pada IMFP. Pertandingan itu juga membabitkan 289 penyertaan dari 40 buah negara.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kemenangan itu hadiah bukan hanya kepada Perkeso atau artis-artis yang terlibat, malah buat semua rakyat Malaysia yang baru sahaja meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-64 dan Hari Malaysia, minggu lalu.
“Ia juga adalah pengiktirafan kepada kerja keras Perkeso melalui pelbagai cara selama ini untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran rakyat Malaysia terhadap pentingnya jaringan keselamatan sosial untuk melindungi mereka dan keluarga tersayang.
“Perkeso kini sedang giat menyusun strategi dan pendekatan yang lebih pelbagai, kreatif dan menyeluruh bagi menguar-uarkan mesej mengenai kepentingan mencarum, khususnya generasi muda dengan memanfaatkan penggunaan media sosial dan platform digital sebagai satu daripada saluran komunikasi utama, di samping platform-platform arus perdana yang lazim,” katanya dalam kenyataan.
Festival media yang dianjurkan setiap tiga tahun bersempena Kongres Dunia Keselamatan dan Kesihatan di Tempat itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada filem dan hasil multimedia bertemakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Mohammed Azman berkata, dengan kemenangan itu, Perkeso telah mengharumkan nama negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di persada antarabangsa.
Bergenre moden kontemporari, lagu tersebut turut menyelitkan konsep Vision Zero di dalam liriknya.
Vision Zero merupakan satu pendekatan strategik terhadap usaha pencegahan kemalangan yang menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja.
Konsep yang mula diperkenalkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) yang mempromosikan amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan pekerja.
Ia sejajar dengan peningkatan tenaga kerja muda dalam pelbagai sektor ekonomi serta perluasan ekonomi gig yang menjadi pilihan ramai anak muda sebagai kerjaya kehidupan masa kini.
Sejak dilancarkan pada November 2019, lagu Sifar telah beberapa kali dimuat naik di saluran YouTube dan sehingga kini telah berjaya memperoleh lebih 700,000 tontonan. – UTUSAN











