PETALING JAYA: Petronas, melalui anak syarikatnya, Petronas Gas & New Energy Sdn. Bhd. (PGNESB), telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ENEOS Corporation (ENEOS) untuk meneroka peluang perniagaan hidrogen.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua syarikat akan mengembangkan rangkaian bekalan hidrogen bersih yang kompetitif antara Malaysia dan Jepun.
Menurut Petronas, di bawah kerjasama itu, kedua-dua pihak akan melakukan kajian bersama teknikal-komersial mengenai rantaian bekalan hidrogen merangkumi pengeluaran hidrogen dan pemindahannya dalam bentuk metilcyclohexane (MCH), di mana hidrogen diubah daripada keadaan asalnya kepada bentuk cecair untuk membolehkan penghantaran dalam jumlah besar.
Jelas Petronas, syarikat dan ENEOS juga akan meneroka pengeluaran hidrogen rendah karbon daripada kemudahan petrokimia Petronas dan pada masa hadapan, menghasilkan hidrogen hijau daripada tenaga boleh dibaharui.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Tenaga Baharu Petronas, Adnan Zainal Abidin berkata, MoU itu menjadi bukti bagaimana kerjasama industri boleh membantu mempercepat aspirasi bersama ke arah masa depan rendah karbon.
“Kewujudan sumber tenaga bersih seperti hidrogen, inovasi dan kerjasama dengan rakan niaga dalam pembangunan teknologi adalah penting kerana ia menyumbang ke arah mencapai kos berdaya saing dan boleh skala secara lebih meluas di seluruh perniagaan dan industri,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Petronas berkata, perkembangan teknologi pembawa hidrogen organik cecair (LOHC) seperti MCH, mendapat tarikan yang cepat kerana sifatnya yang stabil secara kimia bagi penyimpanan jangka panjang dan pengangkutan jarak jauh.
Selain itu, penggunaan LOHC memanfaatkan infrastruktur minyak dan petrokimia konvensional sedia ada yang mengurangkan banyak keperluan untuk mengembangkan aset baharu, sekali gus menjadikannya pilihan berdaya maju kepada penggiat tenaga.
Katanya, pengembangan ekonomi berasaskan hidrogen dijangka melengkapkan pertumbuhan masa depan negara memandangkan Malaysia bersedia kepada peralihan ekonomi rendah karbon.
“Untuk projek ini, ENEOS telah mendapatkan pembiayaan daripada Dana Inovasi Hijau Kerajaan Jepun yang menaja projek dan inisiatif penyahbekuan,” katanya.
Menurut Petronas, MoU itu dicetuskan melalui aspirasi bersama Petronas dan ENEOS untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Pada tahun lalu, Petronas mengumumkan hasratnya untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik terhadap kelestarian, sementara ENEOS sedang berusaha mencapai cita-cita neutral karbon melalui Visi Alam Sekitar 2040. – UTUSAN










