PETALING JAYA: Penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam Kelestarian (IMTN) oleh SME Bank dapat membuka jalan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk menuju ke arah ekonomi kitaran hijau.
Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff berkata, penerbitan Sukuk Kelekstarian itu membuka peluang yang lebih luas kepada PKS untuk mengembangkan perniagaan, teknologi dan perkhidmatan mereka serta menyokong aspirasi kerajaan dalam memajukan sektor teknologi hijau.
Kata beliau, sektor tersebut disasarkan dapat menyumbang RM100 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menghasilkan 230,000 peluang pekerjaan hijau menjelang 2030.
Sasaran-sasaran itu, kata beliau, akan membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara setelah dilanda pandemik Covid-19.
“SME Bank berbesar hati menjadi peneraju dalam membuka jalan bagi usahawan PKS menceburkan diri dalam ekonomi kitaran hijau,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Menurut SME Bank, Sukuk Kelestarian tersebut diterbitkan dengan harga akhir penerbitan mencatatkan 59 mata asas lebih tinggi berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia 5-Tahun.
Katanya, RHB Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai Penasihat Utama Tunggal manakala AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad dilantik sebagai Pengurus Utama Bersama (JLM).
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, hasil yang diperoleh daripada penerbitan Sukuk Kelestarian itu akan menangani masalah pembiayaan yang tidak mencukupi untuk projek hijau dan sosial.
Kata beliau, hasil itu juga akan meluaskan jangkauan kerana pihaknya dapat membiayai projek yang secara langsung menyokong 11 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pencapaian ini merupakan bukti sokongan padu SME Bank terhadap pemulihan ekonomi Malaysia dan pada masa sama dapat menjadikan ekonomi kitaran hijau di Malaysia sebagai norma baharu.
“SME Bank telah lama membantu PKS berteknologi hijau melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan kemudahan pembiayaan lain,” katanya. – UTUSAN










