Geng pecah kereta di Desaru tumpas, saki baki ahli dikesan - Utusan Malaysia

Geng pecah kereta di Desaru tumpas, saki baki ahli dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan tiga lelaki yang disyaki melakukan jenayah pecah kenderaan termasuk melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura di pusat peranginan di Desaru, Kota Tinggi, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 36 tahun itu ditahan dalam ‘Ops Kesan’ di kawasan Masai dan Majidee, di sini, kelmarin dan semalam.

“Ketiga-tiga suspek ini dipercayai terlibat dalam tujuh kes pecah kenderaan dan curi barangan dalaman kenderaan tersebut di Kota Tinggi pada Ahad lalu.

“Daripada tujuh kes itu, empat membabitkan empat kenderaan bernombor pendaftaran Singapura di tiga pusat peranginan dan rekreasi di Desaru,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tiga kenderaan bernombor pendaftaran Singapura didakwa dipecah masuk di kawasan parkir sebuah taman tema air di Desaru, Ahad lalu.

Ab. Rahaman berkata, susulan penahanan itu, polis turut merampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit, tiga unit tablet, sebuah beg galas, dua unit kunci alat Kawalan jauh, sebatang pemutar skru dan spanar.

“Kesemua suspek ini dipercayai menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan terpencil dan jauh dari pandangan orang awam. Kita masih memburu saki-baki kumpulan tersebut termasuk dalang yang masih bebas.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan ujian saringan urin mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×