KUALA LUMPUR: Pelakon, Redza Rosli enggan memberi sebarang kenyataan mengenai desas desus kerentakan rumah tangganya dengan isteri, Bella Hanna.
Redza yang ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada pagi Isnin sekadar menyapa rakan media dan memohon maaf kerana tidak dapat memberi sebarang komen mengenai perkara itu.
“Minta maaf ya,” katanya.
Bagaimanapun Redza yang hadir ke Mahkamah dengan memakai songkok, berkemeja dan berseluar hitam meredakan spekulasi yang timbul apabila berjalan berpegangan tangan dengan isterinya yang hadir mengenakan jubah merah rambu.
Terdahulu Bella menimbulkan tanda tanya apabila memuat naik fotonya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.
Bagaimanapun dia menjelaskan kehadirannya ke mahkamah tersebut tidak semestinya berkaitan urusan perceraian.
Redza dan Bella mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024 dan mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata.










