Pulihkan industri pelancongan negara - Utusan Malaysia

Pulihkan industri pelancongan negara

PULAU Langkawi menawarkan pakej percutian yang menarik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BICARA NIAGA

MUKADIMAH

SERANGAN pandemik Covid-19 telah melumpuhkan industri pelancongan sehingga pernah mencatatkan kerugian pada awal tahun lalu sebanyak RM45 bilion melibatkan lebih RM31 bilion untuk pelancongan antarabangsa, manakala pelancongan domestik diunjurkan mencatatkan kerugian lebih RM13 bilion. Secara purata, Malaysia menerima lebih kurang 25 juta pelancong setiap tahun.

Bagaimanapun sebagai orang kuat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Menterinya, DATUK SERI NANCY SHUKRI optimis industri pelancongan di negara ini mungkin dibuka seawal September depan dengan kerancakan program vaksinasi negara.

Projek rintis awal telah pun dilancarkan iaitu dengan memperkenalkan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis untuk Program Covid-19 Free Destination sebelum diperluaskan ke lokasi lain.

“Ia sebagai satu inisiatif bangkit semula sektor pelancongan pasca pandemik Covid-19 yang terjejas teruk akibat wabak itu,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, baru-baru ini.

NANCY SHUKRI

UTUSAN: Apakah perkara yang dilaksanakan MOTAC bagi membantu pihak industri yang terjejas ketika berhadapan pandemik ini?

NANCY: Tanggungjawab MOTAC memastikan sektor pelancongan, seni dan budaya Malaysia terus memainkan peranan berkesan kepada pembangunan ekonomi negara. Data 2019  menunjukkan sumbangan sektor pelancongan menyumbang sebanyak 15.9 peratus atau RM240.2 bilion. Dari awal pandemik melanda dunia, MOTAC berusaha memastikan sektor ini terus berdaya tahan.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi membantu penggiat industri yang terkesan dengan penularan wabak, salah satunya Kelonggaran Kepada Pengusahaan Pelancongan Dan Pemandu Pelancong Di Bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [AKTA 482] iaitu: Kelonggaran Hal-Hal Kompaun di bawah Akta 482 seperti diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40 peratus kepada semua pengusahaan pelancongan dan pemandu pelancong berlesen yang dikenakan kompaun sebelum 31 Disember ini, pelanjutan tempoh pembayaran kompaun sehingga tarikh itu, pengecualian kompaun kepada golongan itu yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan syarat permohonan lengkap perlu dikemukakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat PKP/ PKPD.

Selain itu, pengecualian fi kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang dilesenkan di bawah Akta 482, kelonggaran syarat lesen kepada syarikat pengendali pelancongan.

Melalui Tourism Malaysia, kita akan meneruskan pemberian Geran Sokongan Pelancongan, Seni & Budaya (GSPSB) yang tertangguh pada tahun lalu. GSPSB merupakan peruntukan one-off mula digunakan Februari 2020 bertujuan menyemarak dan mengaktifkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya agar terus berdaya saing melalui pemberian sokongan dan bantuan insentif kepada pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat industri bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi.

Selain itu, kita juga akan teruskan pemberian Dana Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) untuk kempen promosi dan pemasaran sektor pelancongan dalam dan luar negara bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan domestik. Program GAMELAN yang diperkenalkan pada 9 Julai 2019, dengan peruntukan sebanyak RM5 juta ditangguhkan pada tahun lalu ekoran pelaksanaan PKP.

Garis panduan GAMELAN juga turut ditambah baik bersesuaian dengan norma baharu pasca Covid-19 dengan mengambil kira aspek promosi pelancongan secara digital.

Kerjasama erat MOTAC dengan persatuan hotel dan 37 persatuan pelancongan dan kebudayaan turut diadakan untuk merangka hala tuju bersama agar industri ini dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana mencabar ketika ini.

Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis MOTAC (CMT) ditubuhkan bertujuan membincangkan bantuan segera dan perancangan jangka pendek demi memastikan kelangsungan sektor pelancongan negara.

Inisiatif kita yang lain termasuklah pelaksanaan program reskilling kepada pemandu pelancong berlesen negara iaitu Program Domestic Tourism Vibes yang dilaksanakan secara percuma dalam usaha membantu golongan itu menghadiri program ini yang merupakan prasyarat bagi memperbaharui lesen pemanduan. Pada 2020, seramai 4,288 peserta terdiri daripada pemandu pelancong berlesen dari seluruh negara menghadiri program tersebut dan sebanyak 14,027 sijil Kursus e-CTRE dikeluarkan.

Program ini diteruskan pada tahun ini yang mana seramai 2,096 peserta mendaftar dan seramai 1,271 orang berjaya mengikuti keseluruhan program sebagai inisiatif untuk mengekalkan standard dan kualiti pemandu pelancong berlesen negara dijangka selesai pelaksanaannya pada November ini.

MOTAC juga mengambil inisiatif bersama pihak MOSTI untuk mengadakan persembahan pemuzik/buskers di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mulai 8 Julai sehingga 31 Disember ini bermula di dua PPV Mega iaitu Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dan World Trade Centre (WTC).

 

MOTAC sedang berusaha ke arah menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis untuk Program Covid-19 Free Destination. Apakah bentuk perancangan untuk tujuan itu? 

Pulau Langkawi merupakan projek rintis pasca Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP) untuk memulihkan semula industri pelancongan serta menggalakkan rakyat, warganegara asing yang berada di Malaysia (seperti ekspatriat dan diplomat) dan seterusnya pelancong asing untuk melancong ke Malaysia setelah keadaan mengizinkan.

Dalam keadaan norma baharu ini, sasaran pelancong adalah dalam kalangan vaccinated tourist atau mereka yang mempunyai risiko paling rendah, iaitu bersesuaian dengan usaha mengawal penyebaran wabak ke destinasi pelancongan.

Sebagai permulaan, Pulau Langkawi dijadikan sebagai testing ground untuk kehadiran pelancong tempatan berkunjung ke pulau tersebut mengikut kepada situasi semasa serta keputusan kerajaan membenarkan projek rintis ini dapat dilaksanakan dengan usaha mewujudkan green travel bubble. Selepas itu, kita akan melihat pula dari aspek kesesuaian masa untuk dibuka kepada pelancong asing.

Kerajaan akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada masyarakat di Pulau Langkawi bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dicapai dengan kadar segera. Jumlah penduduk di Langkawi yang layak menerima vaksin adalah dianggarkan sekitar 76,400 orang daripada keseluruhan penduduk Langkawi yang berjumlah 115,000 orang.

Ia juga merupakan sebagai persediaan awal untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan yang bakal dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di beberapa lokasi-lokasi pelancongan lain di seluruh negara.

Sememangnya Malaysia mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik di seluruh pelosok negara, namun, dalam membuka semula industri pelancongan pasca Covid-19 ini, kita memerlukan strategi ini untuk memberi keyakinan selain memastikan destinasi tersebut perlu mudah dikawal selia pintu masuk dan keluar.

Bahkan destinasi perintis ini juga harus mempunyai kekuatan tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa, serta kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.

Strategi untuk memilih satu lokasi perintis ini juga bakal dilakukan kebanyakan negara lain seperti Thailand dan Indonesia. Sekiranya satu destinasi ini dapat dibuka dengan jayanya, maka kita boleh mensasarkan destinasi lain supaya dapat dibuka dengan lebih teratur dan selamat untuk dikunjungi.

Pasaran yang berpotensi selepas Langkawi diangkat menjadi destinasi rintis bagi program COVID-19 Free Destination ialah Bali, Indonesia. Lebih-lebih lagi, kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) sebaik sahaja pintu sempadan negara kembali dibuka iaitu selepas tempoh pandemik. Bagaimanapun, pelaksanaan projek ini memerlukan perbincangan lanjut dan komitmen semua pemegang taruh berkaitan.

NANCY SHUKRI

Selepas Langkawi, di manakah lokasi lain yang dicadangkan? 

MOTAC melalui Tourism Malaysia dalam proses mengenal pasti destinasi-destinasi pelancongan yang bersesuaian selain daripada Langkawi. Mesyuarat Penyelarasan Bantuan bersama Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah membincangkan kaedah pelaksanaan untuk menjadikan Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan Pulau Redang sebagai Program Covid-19 Free Destination dengan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada masyarakat di pulau-pulau tersebut untuk mencapai imuniti kelompok.

Oleh itu, Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah yang berkaitan akan mengemukakan perancangan serta permohonan mengenai keperluan bantuan daripada MOTAC melalui Tourism Malaysia untuk pertimbangan selanjutnya.

MOTAC akan memantau semua destinasi pelancongan berjaya divaksinasi dengan menyeluruh. Ini bermakna, destinasi sebegini lebih bersedia dari yang lain dari tahap kurang risiko dan jaminan keselamatan dalam menyambut pelancong.

Di samping itu, MOTAC juga sedang mendapatkan maklum balas daripada semua kerajaan negeri berhubung lokasi-lokasi yang menjadi tarikan pelancong untuk diketengahkan sebagai destinasi utama yang akan diperluaskan mengikut fasa selepas projek rintis yang pertama ini berjaya dilaksanakan.

Selain Langkawi, turut dicadang ialah di Kuching, Sarawak kerana lokasinya terkenal dengan kemasukan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara. Malah, MOTAC juga menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha mengangkat Bandar Raya Kuching sebagai salah satu jaringan bandar raya kreatif di peringkat UNESCO dan ASEAN di bawah kategori Gastronomi pada masa terdekat.

Jaringan Bandar Raya Kreatif merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh UNESCO pada 2004, di mana objektif utama penubuhan bandar kreatif tersebut adalah memupuk inovasi dan kreativiti sebagai pemacu ke arah pembangunan bandar raya yang lestari dan inklusif.

 

Dalam masa setahun ini, walaupun pelbagai cabaran ditempuhi, apakah pencapaian diperoleh MOTAC dalam tempoh tersebut?

MOTAC berjaya melakar beberapa kejayaan bagi sektor pelancongan dan kebudayaan.

Di peringkat antarabangsa, pelbagai anugerah diterima antaranya Malaysia sebagai negara Terbaik bagi sektor Pelancongan Mesra Muslim (MFT); empat anugerah kraf di Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) 2020 di Bikaner House, New Delhi, India; Pengiktirafan UNESCO di bawah kategori Reprensentative List of The Intangible Culture Heritage of Humanity iaitu Upacara Wangkang dan Pantun; Penganugerahan Brandlaureate Kepada Islamic Tourism Centre (ITC) Sebagai Strategic Business Alliance sempena penganjuran The BrandLaureate World Halal Best Brands e-Branding 2021; dan Malaysia Sebagai Negara Pelancongan Kesihatan Dan Perubatan Terbaik Dunia.

MOTAC juga berjaya memperkasakan industri kraf negara melalui inisiatif platform digital iaitu E-Kraf bazar, Mycraftshoppe dan CraftOnTheGo (COTG) bagi membantu usahawan kraf mempromosi dan menjual hasil kraf mereka bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Sehingga 30 April lalu, seramai 15,690 orang berdaftar sebagai ahli EKB di mana 1,651 orang merupakan usahawan kraf. Nilai jualan kraf berjaya dijana melalui inisiatif ini ialah sebanyak RM18.5 juta.

Menerusi Mycraftshoppe pula, platform ini berjaya menghimpunkan seramai 551 usahawan kraf dalam memasar dan mempromosikan sebanyak 13,014 Stock Keeping Unit (SKU) dengan nilai jualan yang dijana sebanyak RM105,822.49

Di samping itu, COTG merupakan perkhidmatan direktori usahawan kraf secara digital yang dibangunkan dalam bentuk aplikasi telefon pintar. Sehingga 30 April lalu, seramai 1,213 orang usahawan kraf berdaftar di bawah aplikasi COTG.

 

Bagaimanakah dengan perancangan Visit Malaysia? Adakah akan diteruskan di bawah travel bubble selepas tempoh PKP berakhir?

Kempen Visit Malaysia 2020 (VM2020) dibatalkan ekoran wabak Covid-19 serta penguatkuasaan PKP pada 18 Mac 2020. Bagaimanapun, seiring dengan sahutan #TravelTomorrow yang digerakkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), Tourism Malaysia tetap mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan menarik di negara ini dengan mesej Dream Now, Travel Later khususnya di media sosial agar Malaysia kekal dalam ingatan para pelancong walaupun pintu sempadan negara ditutup buat pelancong asing.

Transformasi ke arah digitalisasi pelancongan ekoran penguatkuasaan sekatan perjalanan ini telah membawa promosi pelancongan domestik digiatkan melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia secara dalam talian manakala promosi di peringkat antarabangsa direncana di bawah kempen Malaysia Truly Asia.

Pelan Pemulihan Negara dijangka memberikan kebenaran perjalanan rentas negeri serta pembukaan semula kepada sektor pelancongan domestik pada fasa keempat iaitu pada penghujung tahun ini.

Sehubungan itu, sektor pelancongan dijangka rancak kembali dengan penawaran pelbagai diskaun menarik termasuk inisiatif promosi Buy Now Travel Later yang mana tempoh sah pakej boleh digunakan sehingga hujung tahun ini atau sehingga tahun depan.

Malahan, persediaan untuk mengaktifkan kembali sektor pelancongan antarabangsa sedang giat diatur selari dengan kemungkinan pembukaan semula pintu sempadan negara susulan perencanaan strategi peralihan keluar daripada kemelut Covid-19 seperti digariskan di bawah Pelan Pemulihan Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN