Perkenal kawal selia industri vape - Utusan Malaysia

Perkenal kawal selia industri vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan dan persatuan industri vape tempatan dan pengguna vape memohon kerajaan memperkenalkan peraturan mengawal selia industri vape terutamanya berkenaan penggunaan nikotin dalam cecair vape.

Gabungan pertubuhan berkaitan vape dianggotai Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA) dan Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) dalam kenyataan bersama berpendapat, peraturan serta hala tuju yang jelas akan membantu pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dalam industri vape.

Menurut kenyataan itu, industri vape berpotensi untuk menarik pelaburan domestik serta pelaburan asing memandangkan industri vape tempatan mempunyai satu ekosistem yang cukup besar dengan pengilang, pengimport, pengedar, penjual serta pengguna seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Industri vape tempatan pada masa ini dianggarkan bernilai RM2.27 billion yang membabitkan 3,300 perniagaan dengan lebih daripada 15,000 pekerja dan terdapat lebih daripada satu juta pengguna vape di Malaysia.

“Peraturan juga akan memastikan pengguna menggunakan produk yang dikawal selia dan selamat untuk digunakan. Ia juga akan membantu membendung penyalahgunaan produk terutamanya dalam memastikan tiada penjualan kepada atau penggunaan oleh mereka yang di bawah umur,” kata kenyataan itu.

Gabungan perusahaan vape tersebut turut tidak bersetuju dengan kenyataan Japan Tobacco International (JTI) untuk menaikkan kadar cukai eksais untuk vape kepada kadar sama dengan rokok dan menganggap cadangan tersebut adalah tidak wajar.

Ujarnya, kadar cukai eksais yang diperkenalkan Kerajaan awal tahun ini untuk peranti dan cecair vape tanpa nikotin tidak wajar untuk dinaikkan sebaliknya perlu diperluaskan untuk merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin kerana majoriti produk dalam pasaran adalah cecair vape yang mengandungi nikotin.

“Industri rokok sendiri telah membuktikan kenaikkan cukai ke kadar yang tinggi mendorong perokok beralih kepada pasaran rokok seludup. Cadangan syarikat JTI seolah-olah bertentangan dengan bukti yang dikemukakannya selama ini.

“Sekiranya kadar cukai yang tinggi dikenakan ke atas produk vape, ia bukan sahaja menghalang usaha perokok berhenti merokok melalui vape, malah ia berkemungkinan mendorong penyeludupan produk vape yang mengelakkan cukai,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, anggaran setiap mililiter cecair vape bersamaan dengan dua puluh batang rokok adalah tidak logik kerana kedua-dua produk ini bukannya produk yang sama.

“Rokok adalah terbukti berbahaya untuk kesihatan manakala produk vape telah terbukti kurang mudarat berbanding merokok dan membantu perokok berhenti merokok.

“Apa yang penting adalah hala tuju industri ini perlu dibincangkan bersama antara pihak Kerajaan, pihak industri dan pihak pengguna. Kami memohon kerajaan mengadakan sesi konsultasi bersama kami sebelum keputusan berkenaan peraturan kawal selia dan percukaian dibuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN