PETALING JAYA: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah memulakan operasi Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Sektor Pengangkutan bagi Pelabuhan Pulau Pinang di Swettenham Pier Cruise Terminal, George Town.
Menurut SPPP, pusat vaksin berkenana diwujudkan bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Jelasnya, program pemberian vaksin indusri sektor pengangkutan bagi Pelabuhan Pulau Pinang diterajui oleh SPPP dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara dan Penang Port Sdn. Bhd.
“Operasi PPVIN ini bermula pukul 8.30 pagi sehingga 2 petang dengan pemberian vaksin sebanyak 200 dos sehari. Program ini akan memanfaatkan sebanyak 5,434 orang petugas barisan hadapan di Pelabuhan Pulau Pinang dan dapat membantu kerajaan dalam usaha mencapai imuniti kelompok khususnya di Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, program itu berjalan lancar dengan adanya petugas yang komited dan bersemangat daripada SPPP, Penang Port, Health Care Organizer, Jabatan Laut Wilayah Timur dan 40 Rejimen Pakar Pelabuhan RAJD Askar Wataniah.
“Saya berharap, program vaksinasi yang telah bermula di PPVIN Pelabuhan Pulau Pinang itu dapat memberi impak positif terhadap penurunan kes jangkitan Covid-19
dalam kalangan komuniti pelabuhan dan sektor pengangkutan di Pulau Pinang,” katanya yang mengunjungi pusat berkenaan.
Beliau berharap, Kerajaan Persekutuan akan turut melaksanakan operasi vaksinasi jumpa terus atau walk-in di Pulau Pinang.
“Walaupun warga emas di Pulau Pinang sekarang boleh menerima vaksin Covid-19 secara jumpa terus di empat pusat pemberian vaksin (PPV) mulai 2 Ogos, saya harap program ini dapat diperluaskan kepada orang ramai yang berusia 60 tahun ke bawah supaya mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN










