Landskap pasaran digital krisis pandemik - Utusan Malaysia

Landskap pasaran digital krisis pandemik

WABAK Covid-19 mengubah gaya hidup termasuk cara perniagaan yang kini lebih tertumpu kepada penggunaan platform digital. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Cabaran krisis pandemik telah menyaksikan perubahan norma gaya hidup yang memberi implikasi besar terhadap pengaruh budaya pasaran di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali, cabaran pandemik ini telah memaksa sektor perniagaan daripada pelbagai peringkat industri untuk terus berusaha memperkukuh strategi pemasaran digital yang efektif.

Berdasarkan pengalaman menghadapi cabaran dua siri krisis ekonomi serantau pada sekitar 1997 dan 2010, serta perkembangan teknologi yang mempengaruhi peralihan pasaran sejak itu, saya turut akui bahawa cabaran mendepani krisis pandemik ini sememangnya berbeza. Krisis disebabkan wabak ini telah merubah landskap pasaran secara drastik serta memberi kesan terhadap kelestarian ekonomi sehingga dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia.

Oleh itu, mengurus inisiatif pemasaran sepanjang krisis pandemik ini memerlukan sektor perniagaan untuk sentiasa peka dalam mengenal pasti perubahan pasaran agar strategi yang dibangunkan sentiasa selaras dengan aspirasi semasa pasaran dan prospek pelanggan yang disasarkan. Terdapat beberapa elemen yang mempengaruhi landskap pasaran digital kesan daripada krisis pandemik ini.

PENINGKATAN PERSAINGAN DIGITAL

Peralihan transformasi digital yang drastik telah menyaksikan persaingan pemasaran secara dalam talian yang semakin meningkat. Kini, semakin ramai pengusaha dan peniaga telah menyedari kepentingan internet dan mula mendalami fokus pengendalian digital dengan lebih bersistematik.

Namun, di samping itu juga, terdapat penurunan dalam keupayaan kuasa membeli dalam kalangan pengguna yang turut memberi kesan terhadap pasaran. Rantaian peralihan transformasi digital yang drastik dan peningkatan sektor perniagaan yang terkesan turut menyumbang implikasi terhadap pasaran pekerjaan dan kuasa membeli. Prospek kini lebih bersikap berhati-hati dalam melanggan sesuai dengan keperluan dan kemampuan.

Selain itu, dengan peningkatan persaingan secara dalam talian sebagai inisiatif pilihan menjana pendapatan atau memperkukuh perniagaan, ia juga memerlukan setiap usahawan untuk lebih kreatif dalam menjana pelanggan disamping membina reputasi pasaran.

MENGURUS STRATEGI KANDUNGAN

Semakin ramai pengusaha mula memahami keberadaan platform digital sebagai landasan perantaraan dalam membina capaian pelanggan dan prospek pasaran. Melalui pemilihan platform dan teknik yang bersesuaian dengan aspirasi perniagaan, perkara yang lebih penting adalah memastikan hasrat pemasaran dapat dicapai melalui kreativiti kandungan yang mampu menarik hati pelanggan dan prospek pasaran dengan berkesan.

Mengurus elemen pemasaran kandungan melalui teknik penulisan atau video yang mampu menyentuh emosi prospek pelanggan adalah elemen yang perlu dikuasai oleh setiap perniagaan dalam konteks pengukuhan pasaran. Setiap perniagaan sentiasa perlu menambahbaik strategi kandungan bagi menjana impak leads and conversion pelanggan dengan efektif secara konsisten dan berterusan.

KEPENTINGAN PELANGGAN SETIA

Pemasaran dalam talian juga perlu memastikan impak dalam menjana pelanggan dan engagement prospek pasaran yang memberangsangkan. Integrasi strategik dalam mengurus kempen pemasaran secara dalam talian juga memerlukan sokongan pelanggan setia (loyal customer) berkongsi pengalaman dan testimoni bagi memperkukuh kebolehpercayaan pasaran.

Pembelian semula daripada pelanggan setia serta saranan mereka berdasarkan pengalaman sebagai pengguna produk atau perkhidmatan (user-generated content) menjadi landasan penting dalam membantu kebanyakkan perniagaan untuk terus teguh dan kekal relevan di pasaran. Sokongan tulen daripada pelanggan sentiasa menjadi testimoni penting dalam mengalakkan permintaan serta menyokong potensi pasaran baharu terutamanya untuk berkembang maju dalam mendepani krisis pandemik ini.

Justeru itu, perniagaan kini perlu peka membina hubungan dan mengenal pasti faktor motivasi pelanggan serta dorongan pasaran yang terkait dengan produk atau perkhidmatan bagi menjayakan inisiatif pemasaran digital yang efektif. Ia juga menjadi dasar kepada pengukuhan potensi jangka panjang perniagaan dalam persaingan pasaran digital kini.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×