PETALING JAYA: Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia bulanan kekal mencatatkan pertumbuhan pada Jun, masing-masing pada 1.9 peratus dan 0.5 peratus di sebalik ketidaktentuan aktiviti ekonomi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan indeks nilai seunit eksport berbanding bulan sebelumnya disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian sebanyak 7.3 peratus; minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran (3.5 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.8 peratus).
Sementara itu, kata beliau, indeks volum eksport merekodkan peningkatan 12.2 peratus pada bulan sama, disumbangkan oleh pertumbuhan indeks bahan kimia sebanyak 29.6 peratus; alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (15.4 peratus) serta minyak galian (11.3 peratus).
Jelas beliau, indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang 21.2 peratus daripada 142.6 mata kepada 172.8 mata dan berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport meningkat 12.8 peratus.
“Indeks nilai seunit import meningkat 0.5 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran (4.4 peratus); minyak galian (1.6 peratus) serta barang-barang keluaran kilang (0.7 peratus).
“Sementara itu, indeks volum import turut naik 5.5 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (20.5 peratus); makanan (13 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (tiga peratus),” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Uzir, indeks volum import pelarasan bermusim pada Jun tumbuh 14.5 peratus daripada 149 mata kepada 170.6 mata.
Berbanding tahun sebelumnya, kedu-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 5.1 peratus dan 25.8 peratus.
Selain itu, Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif 1.4 peratus bulan ke bulan daripada 103.5 mata kepada 105 mata pada Jun.
Berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 7.4 peratus daripada 97.8 mata pada Jun tahun lalu. – UTUSAN










