PETALING JAYA: Median harga permintaan untuk hartanah di Kuala Lumpur meningkat 5.9 peratus kepada AS$421,301 (RM1.78 juta) pada Julai berbanding suku pertama 2020.
Peningkatan tersebut meletakkan Kuala Lumpur pada tempat ke-15 dalam kedudukan kenaikan harga rumah mengikut bandar dalam laporan kajian hartanah yang diterbitkan Juwai IQI Holdings.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Kuala Lumpur juga berada pada kedudukan kesembilan dari aspek pembeli dari China dalam kajiannya.
Walaupun harga hartanah meningkat, jelas beliau, aktiviti hartanah di ibu negara berkurang manakala transaksi berkurang sebanyak 12 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kami optimis tentang jangka masa sederhana. Empat daripada lima penduduk Kuala Lumpur sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
“Apabila kempen vaksinasi terus meningkat, begitu juga ekonomi dan aktiviti hartanah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kashif, ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada tahun hadapan.
“Malaysia bukan satu-satunya negara yang terkesan teruk akibat pandemik tetapi kita akan kembali kepada pertumbuhan kesihatan dan ekonomi.
“Dengan penekanan terhadap teknologi digital, jaringan keselamatan sosial dan perdagangan antarabangsa, ekonomi akan bertambah baik pada suku keempat dan mula bangkit pada 2022,” katanya.
Menurut laporan tersebut, peningkatan harga median hartanah Kuala Lumpur mengatasi bandar-bandar seperti Paris, London, Bangkok dan Tokyo.
Terdapat empat bandar mencatat peningkatan harga median melebihi 30 peratus, iaitu Montreal (38.9 peratus); Los Angeles (34.6 peratus); Auckland (32.2 peratus) dan Toronto (30 peratus).
Di Asia Tenggara, Singapura mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 7.6 peratus manakala Kuala Lumpur di tempat kedua diikuti Ho Chi Minh (0.7 peratus) dan Bangkok mencatatkan penurunan sebanyak 6.3 peratus.
Dari segi nilai, Singapura mencatatkan harga median hartanah tertinggi pada AS$1.58 juta (RM6.67 juta) diikuti Paris (AS$1.50 juta – RM6.33 juta); Shenzhen (AS$1.24 juta – RM5.23 juta) dan Manhattan (AS$1.13 juta – RM4.77 juta). – UTUSAN










