PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) melancarkan Inisiatif Data Internet Selangor yang melibatkan penawaran kad SIM dengan langganan data internet percuma kepada hampir 70,000 golongan sasar di negeri itu.
Ia termasuk masyarakat setempat di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri, pelajar, peniaga dalam talian, petani, peniaga kecil dan penunggang e-hailing, belia, ibu tunggal dan komuniti orang asli.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang digital bagi mengupayakan lebih ramai golongan sasaran mengukuhkan ekonomi secara progresif serta memastikan tiada anak-anak yang tercicir dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).
Ujarnya, Data Internet Selangor merupakan satu daripada 25 inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan di dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM551.56 juta.
“Syarikat-syarikat telekomunikasi akan terlibat secara langsung dalam penyediaan data internet seterusnya membantu melancarkan kehidupan seharian secara lebih teratur.
“Dengan peruntukan sebanyak RM17.5 juta, program ini menawarkan kad SIM dengan langganan data internet secara percuma yang dibiayai sepenuhnya oleh MBI untuk tempoh 12 bulan.
“Bakal penerima yang layak akan menerima sejumlah kuota data internet secara bulanan tanpa perlu membayar yuran langganan bulanan kepada syarikat telekomunikasi sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Turut berganding bahu dalam melaksanakan inisiatif ini adalah semua Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Penyelaras DUN dalam membantu mendaftarkan bakal penerima daripada pelbagai kategori.
Tambah Amirudin, inisiatif ini membolehkan lebih ramai rakyat Selangor mempunyai akses perhubungan digital secara inklusif, sekali gus membolehkan aktiviti harian yang kini cenderung kepada menggunakan kaedah digitalisasi dapat berjalan dengan lancar.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan beban sebahagian rakyat Selangor yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan akses internet.
“Saya yakin usaha kerajaan negeri ini bakal memberikan impak tinggi kepada kehidupan rakyat yang terkesan serta dapat membantu merancakkan kembali ekonomi negeri,” jelasnya. – UTUSAN










