fbpx

BERNAS komited perkaya produk makanan negara

SMART SBB di Sungai Batu Pahat, Perlis. - GAMBAR BERNAS

PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) terus komited dalam memperkaya produk makanan berkualiti negara.

Selaku salah sebuah syarikat peneraju yang mengendalikan pengurusan sawah berpusat menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperkenalkan sejak awal tahun ini, tumpuan BERNAS pastinya diberikan kepada aspek bimbingan dan kerjasama dengan pesawah.

Program berkenaan juga penting bagi membantu negara meningkatkan sasaran Kadar Tahap Siri Diri (SSL) beras kepada sebanyak 75 peratus.

Penglibatan BERNAS secara holistik melalui kolaborasi dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri, MADA, KADA, IADA dan lain-lain dalam menguruskan aktiviti pertanian sawah padi secara berpusat.

Di samping itu, BERNAS juga turut melaksanakan SMART SBB bersama Pengilang Bumiputera; sebagai contoh program di antara BERNAS dan Kilang Beras Dibuk di Perlis.

Membangunkan kawasan penanaman padi berskala besar ini sudah tentu hadir dengan cabaran tertentu terutamanya apabila tanah yang diambil bagi tujuan tersebut sudah lama  terbiar antaranya di Kota Belud yang telah terbiar selama 10 tahun, sekali gus memerlukan usaha dan komitmen yang jitu.

Kawasan penanaman padi yang diusahakan dengan cara tradisional sebelum ini memerlukan pembaharuan bagi mendorong hasil pengeluaran yang lebih baik.

Pada peringkat awal pelaksanaan, BERNAS mengunjurkan kenaikan antara 40 hingga 60 peratus selepas diperkukuh pengurusan dinamik dan perancangan teliti SMART SBB.

BERNAS bersama wakil setiap agensi bagi program SMART SBB di Kota Belud, Sabah. – GAMBAR BERNAS

Secara umumnya, SMART SBB menyasarkan hasil dan mutu padi yang tinggi, penggunaan tanah yang optimum dan memperkasa pengetahuan komuniti pesawah dengan proses dan  teknologi terkini melalui amalan pertanian pintar atau Internet of Things (IoT) serta pengunaan mekanisasi moden.

Ini kerana, teknologi semakin berkembang dan kini terdapat jentera dan mesin yang lebih efisien serta teknologi dron untuk  memantau kawasan luas yang sudah tentu dapat menambah baik proses selain menjimatkan masa, tenaga dan kos.

Hal ini sudah tentu dapat meningkatkan taraf hidup pesawah kerana pengurusan sawah secara berpusat akan membantu menjimatkan kos input pertanian secara menyeluruh dan pada masa yang sama mempunyai potensi untuk meningkatkan kadar penghasilan padi yang lebih banyak dan dengan proses perladangan yang ditambah baik.

Justeru, seramai 186 pesawah kini bersama BERNAS terlibat dalam menjayakan program yang dirangka ini dan mereka ternyata komited dan bersedia menjadi pesawah yang dinamik  dan mampan.

Setakat ini, SMART SBB mendapat penerimaan yang baik apabila pesawah sendiri faham akan sasaran dan hasil positif yang dapat mereka ambil daripada program ini.

Pesawah juga memahami tanpa proses dan sokongan teknologi yang baik, hasil yang mereka perolehi amat rendah sedangkan keluasan tanah mampu mencapai hasil yang lebih besar.

PROSES perataan tanah terbiar bagi membangunkan SMART SBB
di Kampung Kulambai Kota Belud, Sabah. – GAMBAR BERNAS

Sebagai contoh, padi A sebenarnya mampu menghasilkan enam hingga tujuh metrik tan padi sehektar namun tanpa peralatan dan sokongan teknologi, mereka hanya mampu  mencatat pengeluaran tiga hingga ke empat metrik tan sehektar sahaja bagi setiap musim.

Di sinilah SMART SBB berfungsi untuk menampung jurang yang ada. BERNAS serta agensi-agensi yang terlibat akan sentiasa bersama pesawah bagi menyokong dan terus mendorong mereka menerusi pengenalan teknik dan disiplin pertanian baik berdasarkan jadual kerja ladang bagi memastikan sasaran tahunan dapat dicapai.

Selain itu, BERNAS juga turut merancang untuk memperluaskan lagi program SMART SBB ini kepada varieti padi yang lain seperti beras wangi pada masa akan datang. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN