PETALING JAYA: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) memperluaskan program pembiayaan pendidikannya dalam bidang teknologi, sejajar inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), bertujuan memacu kemajuan negara sebagai ekonomi berasaskan teknologi maju.
Menurut Yayasan Peneraju, sebagai sebuah agensi yang menyediakan peluang lebih besar kepada bakat Bumiputera dalam bidang pendidikan dan kemahiran, baru-baru ini ia menawarkan pembiayaan bagi pensijilan profesional dalam bidang keselamatan siber.
Ia bagi melahirkan lebih ramai pakar untuk membantu meningkatkan tahap keselamatan siber di negara ini dan memacu Malaysia ke arah negara maju.
“Usaha ini penting kerana Malaysia kini sedang rancak melaksanakan inisiatif MyDIGITAL dan telah mengenal pasti keselamatan siber sebagai komponen kritikal dalam menangani ancaman siber dan membangunkan ekosistem digital masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ts. Mohd. Muzzammil Ismail berkata, yayasan merupakan antara badan penaja utama yang melahirkan Bumiputera bertauliah dan berkemahiran tinggi dalam bidang keselamatan siber.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan lebih 40 peratus tenaga kerja profesional keselamatan siber untuk memenuhi permintaan tinggi pasaran.
“Kami mengisi jurang itu dengan menawarkan pensijilan keselamatan siber di bawah teras Peneraju Teknologi dengan menyasarkan kumpulan yang lebih luas merangkumi siswazah serta golongan yang sedang bekerja dan tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Muzzammil berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu memenuhi salah satu matlamat MyDIGITAL, iaitu melahirkan 20,000 bakat dalam bidang keselamatan siber menjelang 2025 untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang terjamin.
“Meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang setaraf dengan negara maju adalah salah satu kunci untuk merubah negara dari ekonomi berasaskan tenaga buruh kepada ekonomi bernilai tinggi dengan status berpendapatan tinggi,” katanya.
Yayasan Peneraju diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan pakar.
Agensi itu telah merealisasi aspirasi lebih 37,000 penerima faedah dari seluruh negara melalui lebih 260 program pembiayaannya, dengan pengagihan peruntukan sebanyak RM822 juta dalam tempoh sembilan tahun lalu. – UTUSAN










