PETALING JAYA: UOB Asset Management Ltd. (UOBAM) menyaksikan peningkatan sebanyak 330 peratus jumlah pelaburan korporat dalam talian pelaburan digitalnya di Malaysia, Singapura dan Thailand dalam tempoh 18 bulan lalu, setakat 30 Jun 2021.
Jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) di portal pelaburan digital UOBAM Invest juga melebihi RM3 bilion.
Menurut syarikat itu, trend meningkat untuk portal dalam talian UOBAM Invest menunjukkan permintaan yang semakin bertambah daripada pelabur korporat untuk penyelesaian digital lebih baik yang menawarkan akses sepanjang hari dan kefleksibelan.
Katanya, Penasihat Digital UOBAM Invest, perkhidmatan penasihat robo pertama khusus untuk pelabur korporat di Singapura dan Malaysia, menampilkan perancang portfolio berasaskan lagoritma yang membolehkan pengguna melabur dalam portfolio dana UOBAM yang disesuaikan dan dana dagangan bursa (ETF) global.
“Pelabur korporat juga memilih perkhidmatan dana langsung untuk membina dan menguruskan portfolio dana mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong berkata, pihaknya mengambil pendekatan holistik iaitu penyediakan penyelesaian progresif dan mampan yang mengimbangi risiko dan pulangan bagi manfaat pelanggan.
Beliau berkata, syarikat telah meningkatkan keupayaan digital merentasi pelbagai saluran, produk dan perkhidmatan di seluruh Kumpulan untuk menawarkan penyelesaian terbaik kepada lebih ramai pelanggan, termasuk menawarkan keselesaan dan kemudahan melabur dalam talian secara layan diri.
“Inovasi dan kepakaran pengurusan aset UOBAM yang dibina selama lebih tiga dekad mengukuhkan lagi kesalinghubungan digital dan rangkaian penyelesaian pelaburan yang kami tawarkan kepada pelanggan bagi membantu mereka mencapai matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM, Thio Boon Kiat berkata, teknologi telah membolehkan UOBAM menginovasikan perkhidmatan pengurusan pelaburan selain menawarkan pengalaman dan kepakaran tertumpu pada Asia yang lebih banyak pelabur korporat melalui portal UOBAM Invest.
Kata beliau, berdasarkan pemahaman kukuh mengenai pelabur di seluruh rantau itu, UOBAM membangunkan portal digital berkenaan untuk membantu pelabur korporat menguruskan pelaburan mengikut budi bicara mereka dengan mudah, pintar dan selamat.
“Pertumbuhan dari segi pengguna dan juga AUM adalah bukti komitmen kami dalam memenuhi keperluan pelabur dan kami merancang untuk melancarkan UOBAM Invest secara progresif di lebih banyak lagi pasaran,” katanya.
Menurut UOBAM, berikutan persekitaran kadar faedah yang rendah, syarikat melihat permintaan kukuh daripada pelabur korporat untuk dana bon, termasuk dana bon Islam, yang menawarkan pulangan stabil.
Jelasnya, sehingga 30 Jun lalu, dana bon seperti United-i High Quality Sukuk Fund dan United Conservative Bond Fund, mempunyai jumlah AUM lebih RM200 juta di UOBAM Invest, pertumbuhan sebanyak 66 peratus pada tahun ini sehingga kini. – UTUSAN










