PETALING JAYA: AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) meraih keuntungan bersih sebanyak RM163.09 juta pada suku pertama berakhir 31 Mei 2021, melonjak 520.6 peratus berbanding RM26.28 juta suku sama tahun sebelumnya.
Syarikat turut mencatat kenaikan pendapatan sebanyak 5.4 peratus sebanyak RM410.97 juta untuk suku dilaporkan berbanding RM389.88 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
AEON Credit memaklumkan, jumlah urus niaga dan pembiayaan syarikat pada tempoh dilaporkan telah meningkat sebanyak 80.9 peratus kepada RM1.41 bilion berbanding tahun lalu yang dipengaruhi oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac 2020.
Menurut syarikat itu dalam kenyataan, keuntungan sebelum cukai (PBT) dicatatkan sebanyak RM215.86 juta berbanding RM37.09 juta, lebih tinggi disebabkan penurunan nilai dan pengurusan kos berhemat yang dicatatkan pada suku semasa.
“Penghutang pembiayaan kasar syarikat pada suku pertama tahun ini menurun sebanyak RM460.07 juta kepada RM10.06 bilion berbanding RM10.52 bilion yang dicatatkan tahun lalu. Nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) berada pada 1.75 peratus pada suku semasa berbanding 1.42 peratus tahun lalu.
“Nisbah jumlah perbelanjaan operasi terhadap pendapatan dicatatkan pada 38.6 peratus untuk suku semasa berbanding 71.2 peratus pada tempoh sama tahun lalu. Penurunan ini disebabkan peruntukan kerugian rosot nilai yang lebih rendah pada penghutang pembiayaan sebanyak RM23.25 juta berbanding RM174.37 juta sebelumnya,” kata kenyataan itu
Tambah AEON Credit, syarikat akan terus memantau dan menilai risiko kredit yang ada dalam portfolio pembiayaan, dengan memfokuskan pada peningkatan kualiti aset, pengurusan biaya yang berhemah serta peningkatan kecekapan kewangan dan operasi dengan memanfaatkan asas-asas perniagaan positif syarikat.
“AEON Credit komited untuk mempercepat transformasi digital dan keupayaan kecekapan kos untuk mendorong inisiatif digitalisasi.
“Melangkah ke hadapan, AEON Credit yakin mampu mengembangkan perniagaan lebih jauh dan lebih kuat melalui transformasi digital kami, seterusnya mengekalkan prestasi kewangan tahunan kami,” ujarnya. – UTUSAN










