TM, CyberSecurity perkukuh keselamatan siber negara - Utusan Malaysia

TM, CyberSecurity perkukuh keselamatan siber negara

MAJLIS menandatangani memorandum kolaborasi antara TM dan CyberSecurity Malaysia yang diadakan secara maya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Telekom Malaysia (TM) melalui unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awamnya, TM ONE, memeterai memorandum kolaborasi (MoC) dengan CyberSecurity Malaysia untuk memperkasa dan memperkukuh tahap keselamatan siber di negara ini.

MoC itu ditandatangani secara maya oleh Ketua Pegawai Esekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Ts. Amirudin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar.

Ia disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed dan Pengerusi TM, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh. Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Mohd. Bakke berkata, inisiatif strategik itu bertujuan meningkatkan jaringan dan ekosistem keselamatan siber negara dan memperkukuh keyakinan Malaysia di ruang siber.

Katanya, ia amat penting untuk memastikan penerimaan keselamatan siber seiring dengan kepantasan transformasi bagi menjamin ekonomi digital negara.

“Kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua pihak meningkatkan kemampuan sektor awam dan perniagaan bagi menangkis serangan siber yang datang dari seluruh pelosok dunia dan menjadikan keselamatan siber sebagai teras utama ke arah ekonomi digital, kerajaan digital dan masyarakat digital yang lestari.

“TM sebagai pemacu Digital Malaysia, bersedia untuk memenuhi keperluan keselamatan siber untuk menjayakan penggunaan perkhidmatan awan dan membolehkan organsasi-organisasi
memberi tumpuan kepada perjalanan transformasi mereka dengan selamat dan selesa,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Azumi pula berkata, sebagai pakar dan agensi teknikal keselamatan siber, CyberSecurity Malaysia amat komited untuk memastikan aspek e-Keselamatan negara dan akan terus mengenal pasti bidang yang boleh membahayakan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Fokus utama adalah untuk memperkukuh kapasiti melalui pemantauan dan memberikan tindak balas yang berkesan terhadap ancaman dan serangan siber untuk mengelakkan kesan yang besar.

“Dengan termeterainya usahasama strategik ini, prinsip dan mekanisme kolaborasi akan membolehkan kedua-dua entiti bergabung dan mendapat manfaat daripada teknologi dan kepakaran masing-masing, justeru membolehkan kedua-dua organisasi bertindak sebagai rakan strategik komersial di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN