PETALING JAYA: Ramai pengedar kenderaan, terutamanya yang berskala kecil tidak lagi mampu bertahan apabila kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti penjualan dan pengeluaran kenderaan sepanjang tempoh fasa pertama dan kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, larangan operasi sektor automotif menyebabkan para pengedar mengalami masalah aliran tunai apabila tiada kenderaan yang dapat dijual dalam tempoh tersebut.
Kata beliau, pengedar masih perlu melunaskan komitmen bulanan seperti sewa dan gaji walaupun pendapatan berkurang dengan signifikan.
“Kita tak boleh jual kenderaan, yang boleh beroperasi hanya bengkel. Itupun dengan kakitangan yang terhad. Disebabkan itu, banyak indikator tunjuk kalau sekatan pergerakan disambung, ramai yang perlu tinggalkan industri.
“Jika ada yang kata mereka mampu bertahan sehingga Oktober, itu mungkin pengedar besar. Pengedar kecil mereka sangat susah dan mereka memohon bantuan supaya pasaran boleh dibuka,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman prestasi separuh pertama sektor automotif yang diadakan secara maya semalam.
Jualan kenderaan pada Jun lalu jatuh mendadak apabila hanya mencatatkan 1,921 unit berbanding 47,204 unit pada bulan sebelumnya, menurun 45,283 unit atau 96 peratus.
MAA turut mengambil keputusan untuk menyemak semula unjuran jualan keseluruhan industri (TIV) 2021 selepas mengambil kira banyak faktor, terutamanya melibatkan jangkaan arahan kerajaan yang tidak membenarkan kilang automotif, pusat pengedaran dan bilik pameran jualan beroperasi dalam fasa pertama dan kedua PPN dan hanya akan dibuka pada fasa ketiga.
Dalam unjuran terbaharunya, MAA menjangkakan TIV kedua-dua kenderaan penumpang dan komersial lebih rendah berbanding yang dicatatkan pada 2020.Secara keseluruhan, TIV kenderaan pada tahun ini dijangka pada 500,000 unit berbanding 529,434 yang dicatatkan tahun lalu.
Aishah berkata, pihaknya telah menghantar permohonan supaya kerajaan membenarkan operasi kilang dan bilik pameran jualan dengan kawalan yang ketat termasuk jika perlu, hanya membenarkan 60 peratus kakitangan bekerja.
Beliau turut berharap cadangan kerajaan untuk membenarkan operasi kilang yang pekerjanya telah menerima dua dos vaksin dapat dilaksanakan.
“Apabila kilang dibuka, bilik pameran pun perlu dibuka. Kalau kilang dibuka tapi tak boleh jual, ia tidak membantu.
“Kami harap kerajaan dapat longgarkan syarat sekatan pergerakan bagi membolehkan kami bertahan, boleh mula menjual dan ada pendapatan. Harapnya fasa pertama dan kedua ini berakhir cepat agar kami boleh mulakan balik jualan dan pengeluaran,” katanya. – UTUSAN










