Tawaran laporan kredit CTOS percuma - Utusan Malaysia

Tawaran laporan kredit CTOS percuma

CTOS menyediakan laporan kredit untuk kemudahan para pelanggannya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi pelapor kredit, CTOS Data Systems Sdn. Bhd. mengumumkan tawaran laporan MyCTOS percuma dengan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bagi pengguna selaras dengan kempen pemerkasaan kewangan ke seluruh negara.

Menurut kajian CTOS, sejak tempoh 12 bulan lepas terdapat peningkatan sebanyak 52 peratus pengguna mengakses laporan kredit CTOS mereka.

Malah, satu kaji selidik baru-baru ini pula mendapati, sebanyak 57 peratus pengguna menyemak kedudukan kredit mereka lantaran masalah kewangan disebabkan pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems, Eric Chin berkata, Covid-19 dan ketidakpastian yang dicetuskannya telah mendedahkan betapa perlu dan mendesaknya bagi masyarakat Malaysia untuk mengawal kesihatan kewangan mereka.

“Akan tetapi, berdasarkan data CTOS, pada masa ini hanya kira-kira 1.3 juta daripada kira-kira 15 juta penduduk yang bekerja di Malaysia melakukan semakan kendiri untuk mengakses dan menguruskan maklumat kredit peribadi masing-masing.

“Untuk menggalakkan lebih ramai mengambil langkah pertama menguruskan kesihatan kewangan mereka, pihak CTOS melancarkan laporan MYCTOS percuma bersama CCRIS bagi kempen pengguna, selaras dengan usaha pemerkasaan kewangan ke seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Laporan kredit peribadi CTOS memuatkan maklumat terperinci mengenai hutang-piutang, sejarah akaun bagi kad kredit dan pinjaman seseorang serta sejarah pembayaran, termasuk apa-apa pembayaran lewat, had kredit atau amaun pinjaman, baki akaun dan pertanyaan kredit.

Kes guaman dan muflis turut dilampirkan dalam bahagian berasingan, serta juga senarai pemegang jawatan pengarah dan kepentingan perniagaan, jelas syarikat itu.

Menurut Chin, CTOS berhasrat memperkasa seberapa ramai mungkin individu dengan alat-alat serta ilmu pengetahuan supaya dapat membuat keputusan kewangan yang baik, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan masa yang amat mencabar ini.

“Betapa pentingnya kita mempunyai kejelasan dan pemahaman tentang kedudukan kewangan supaya dapat mencapai matlamat kewangan yang diingini. Menyemak laporan kredit MyCTOS adalah langkah pertama ke arah pencapaian matlamat itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN