PETALING JAYA: Sunway Group baru-baru ini telah berjaya merangkul dua pengiktirafan dalam Anugerah Laporan Kelestarian (ASRA) yang keenam.
Sunway adalah satu-satunya konglomerat Malaysia daripada 500 penyertaan dari 17 buah negara, yang diiktiraf dalam anugerah tersebut.
Menurut Kumpulan itu, Sunway Berhad meraih penghargaan emas dalam kategori Laporan Kelestarian (Digital) Terbaik Asia sementara Sunway REIT meraih penghargaan gangsa untuk kategori Laporan (Reka bentuk) Bersepadu Terbaik Asia.
Pengasas ASRA dan Pengarah Urusan CSRWorks International, Rajesh Chhabara berkata, laporan Sunway Berhad dan Sunway REIT menunjukkan kepemimpinan luar biasa dalam membuat laporan yang telus sekali gus mencerminkan persediaan yang berdaya tahan di masa hadapan.
“ASRA mengikuti proses penilaian pelbagai peringkat yang ketat, di mana penilaian bebas panel menentukan finalis dan pemenang melalui tiga pusingan penilaian untuk memilih yang terbaik bagi setiap kategori.
“Selain menilai kualiti laporan, reputasi syarikat di kalangan pemegang sahamnya turut dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada proses penilaian,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif di Pejabat Pengerusi Sunway Group, Ong Pang Yen berkata, penghargaan yang diterima adalah bukti pihaknya berada di landasan yang tepat dalam usaha ke arah kemapanan mereka.
“Kami telah menyelaraskan keutamaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDG) sebagai sebahagian daripada strategi kejayaan jangka panjang Sunway Group, impak ekonomi kepada masyarakat dan komitmen terhadap pembangunan negara.
“Tugas kami sekarang adalah bekerja lebih keras dan tingkatkan usaha dalam berinovasi bagi memberi penyelesaian untuk cabaran terbesar dunia,” kata Pang Yen.
Pengiktirafan itu diberikan berikutan pencapaian Sunway City yang menerima pengiktirafan Berlian menerusi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Anugerah Bandar Rendah Karbon tahun ini.
Kriteria pemenang berdasarkan kejayaan Sunway City dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 1.19 peratus sejak 2018 melalui tenaga yang efisien serta pengurusan sisa yang cekap.
Sunway City Kuala Lumpur kini adalah bandar mampan berkeluasan 800 ekar dengan penduduk lebih 200,000 orang. – UTUSAN










