SUBPLACE, MDEC bekerjasama bantu PKS - Utusan Malaysia

SUBPLACE, MDEC bekerjasama bantu PKS

Kempen Go-eCommerce Onboarding menawarkan pelbagai inisiatif kepada PKS yang terkesan akibat Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SUBPLACE dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melancarkan Kempen Go-eCommerce Onboarding untuk menggalakkan lebih banyak peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menjalankan perniagaan mereka di dalam talian.

Kempen itu memberi bantuan kepada perniagaan yang tertekan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menanggung kos pendigitalan perniagaan PKS.

Inisiatif itu juga selari dengan sasaran kerajaan untuk memacu aktiviti perniagaan dalam talian di seluruh negara dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SUBPLACE, Mak Wai Hoong berkata, pandemik telah mengubah cara pengguna berbelanja dengan semakin ramai yang cenderung untuk berbelanja dalam talian.

Beliau berkata, berdasarkan kajian terkini Persatuan PKS Malaysia, PKS amat tertekan dengan sekatan Covid-19 di mana 91.4 peratus melaporkan mereka mengalami kerugian antara 25 hingga 100 peratus pada tahun ini.

“Dengan Kempen Go-eCommerce Onboarding, kami berharap inisiatif ini dapat membantu PKS untuk mengalih cara perniagaan mereka kepada model perniagaan langganan berkala demi mengharungi masa sukar ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri pula berkata, MDEC terus komited untuk membantu perniagaan tempatan mengharungi dan berkembang dalam tempoh yang sukar ini.

“Dengan sokongan yang kuat daripada kerajaan dan kerjasama awam-swasta yang berkesan, kami menyasarkan untuk memangkinkan pertumbuhan perusahaan e-dagang di Malaysia, di samping mengekalkan pekerjaan dan punca pencarian,” katanya.

Melalui Kempen Go-eCommerce Onboarding, setiap PKS akan ditawarkan:
● 100 peratus pengecualian bayaran pendaftaran bernilai RM1,000.
● Untuk pakej premium, subsidi sebanyak RM1,500 setiap PKS, ini termasuk latihan tahunan, sokongan teknikal, serta penyelenggaran bulanan.
● 2 peratus diskaun atas yuran transaksi kepada semua rakan Biz sedia ada dan baharu.

Dalam platform SUBPLACE, pengguna hanya perlu mendaftar sekali untuk melanggan produk ataupun perkhidmatan, dan mereka boleh mengakses produk atau perkhidmatan ini secara berkala.

Kempen Go-eCommerce Onboarding bermula dari 1 Julai hingga 31 Disember 2021. Pengecualian pembayaran pendaftaran akan diberikan secara automatik kepada mereka yang mendaftar sebelum 31 Disember ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari pautan berikut https://subplace.com/bizpartner/go_ecommerce2021/.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN