SIRIM IR tubuh Majlis Penasihat Antarabangsa - Utusan Malaysia

SIRIM IR tubuh Majlis Penasihat Antarabangsa

Bagi meningkatkan lagi daya saing dan produktiviti industri, SIRIM juga akan menubuhkan sebuah majlis penasihat berasaskan kepada teknologi hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelidikan Perindustrian SIRIM (SIRIM IR), bahagian penyelidikan SIRIM Berhad, akan menubuhkan Majlis Penasihat Antarabangsa.

Anggota majlis itu terdiri daripada peneraju industri dari negara-negara Eropah, Asia Pasifik dan Asia Barat.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad mengumumkan penubuhan majlis penasihat itu pada mesyuarat Majlis Penasihat Penyelidikan Perindustrian SIRIM (IRAC) secara maya semalam.

“Bagi meningkatkan lagi daya saing dan produktiviti industri, SIRIM juga akan menubuhkan sebuah majlis penasihat berasaskan kepada teknologi hadapan (frontier technology),” katanya dalam kenyataan.

Teknologi hadapan itu termasuk kecerdasan buatan (AI) hingga kepada robotik, pengkomputeran kuantum, bioteknologi, internet benda (IoT), nanoteknologi dan teknologi tanpa wayar.

Ahmad Sabirin berkata, SIRIM juga menyelaraskan aktiviti penyelidikannya sejajar dengan Dasar 4IR Negara yang baru dilancarkan bertujuan membawa transformasi kepada Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi dipacu oleh teknologi dan pendigitalan 4IR yang termaju.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan SIRIM IR, Mohd. Azanuddin Salleh berkata, Pusat Perindustrian Pembuatan Pintar di bawah SIRIM IR telah menyediakan pembangunan kapasiti dalam bidang teknologi sejak tahun lalu, bagi membangunkan kemahiran dan keupayaan teknologi dalam pembuatan bahan tambah.

“SIRIM IR dan satu lagi anak syarikat, SIRIM STS akan terus menyokong organisasi awam dan swasta bagi meningkatkan daya saing dalam lima teknologi asas 4IR iaitu kecerdasan buatan, internet benda, blockchain, pengkomputeran awan, analisis data raya dan bahan serta teknologi termaju,” katanya.

Majlis Penasihat Penyelidikan Perindustrian SIRIM ditubuhkan pada 2018. Majlis ini terdiri daripada 10 anggota daripada kementerian, industri dan persatuan industri iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan.

Wakil industri dan persatuan industri termasuklah Suruhanjaya Tenaga, Persekutuan Pengilang Malaysia, Hitachi Asia (Malaysia), Microsoft Malaysia, Petronas, Sina-Sterilgamma dan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN