PETALING JAYA: Sektor Pemajuan Perumahan dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), keputusan itu diputuskan semasa Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lalu.
“Keputusan beroperasi itu terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif dan sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) di bawah Akta 118,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian menjelaskan, di bawah Fasa 1, aktiviti-aktiviti yang dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan, urusan serahan notis milikkan kosong (vacant possession) dan kunci rumah; kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period) dan kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah SPNB bagi kontraktor G1 hingga G4.
Sementara di bawah Fasa 2 pula katanya, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, ejen jualan, galeri jualan, show unit dan unit hartanah subsale.
“Kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini Sektor Pemajuan Perumahan yang boleh dimuat turun di laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di https://www.kpkt.gov.my; SOP Pembinaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di www.cidb.gov.my dan SOP Am Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia di www.mkn.gov.my bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” jelasnya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Jabatan Perumahan Negara di talian hotline 03-8891 4493/4494. – UTUSAN










