Berpotensi hilang pasaran eksport komponen
PETALING JAYA: Benarkan industri automotif kembali beroperasi atau Malaysia bakal kehilangan pasaran di peringkat global.
Ini kerana, ada syarikat automotif seperti Toyota yang mengeksport dalam jumlah besar komponen automotif sebagai sebahagian daripada rantaian globalnya, tidak dapat beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jika situasi berlarutan, pelanggan di luar negara akan mencari pembekal lain, sekali gus memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, industri automtof menyumbang kira-kira 4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penyertaan lebih 700,000 orang termasuk penjual, pengeluar komponen dan lain-lain.
Beliau berkata, pihaknya ada menerima panggilan daripada syarikat automotif luar yang mengimport komponen dari Malaysia, meminta supaya industri kembali beroperasi.
“Pengeluaran mereka terjejas kerana tidak dapat (komponen) dari Malaysia. Kalau kita berterusan dengan keadaan ini, saya rasa mereka akan cari pembekal yang lain. Bila dia dah dapat (dari pembekal lain), dia tak datang balik lah ke Malaysia sebab selalu sangat terhenti pengeluaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aishah berkata, MAA telah beberapa kali menghantar surat kepada pihak kerajaan memohon diberi kelonggaran beroperasi, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, jika situasi itu berlarutan, pihaknya khuatir pelanggan mereka di negara luar yang terlibat akan mencari pembekal lain, memandangkan mereka tidak boleh menangguhkan pengeluaran hanya kerana gangguan bekalan dari Malaysia.
“Ini akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara disebabkan keseluruhan perniagaan eksport menurun. Sementara itu, syarikat yang pada awal bulan ini telah mengumumkan pelaburan tambahan untuk memperluaskan lagi usaha ke arah neutraliti karbon melalui pengeluaran kenderaan elektrik hibrid, turut memberi isyarat bahawa dengan larangan yang berpanjangan terhadap kilangnya akan turut memberi kesan kepada rancangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah pula berkata, industri automotif adalah antara penyumbang penting kepada ekonomi negara dari segi KDNK, pekerjaan, pelaburan serta industri sampingan.
“Ia juga salah satu pemacu pemulihan ekonomi apabila keadaan semasa bertambah baik. Oleh itu, amat penting kita pertimbangkan pelbagai cara untuk memulakan semula industri ini secara beransur-ansur,” katanya. – UTUSAN










