PETALING JAYA: Pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus menyalurkan bantuan tambahan kepada rakan niaga dan peniaga sementara di kawasan rehat dan rawat (R&R) kendaliannya menerusi pengurangan sewa selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober depan bagi membantu mereka berdepan cabaran dalam tempoh pandemik ini.
Ini termasuk pengecualian sewa bulanan untuk semua rakan niaga di R&R Gelang Patah (Arah Utara dan Selatan) susulan penutupan sementara sempadan Malaysia-Singapura.
Menurut kenyataan, PLUS turut melanjutkan pengecualian sewa bulanan selama dua minggu kepada rakan niaga yang terjejas berikutan pengumuman kerajaan yang melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.
Selain itu, PLUS juga sedang meneliti cadangan pembayaran secara berkala serta pengecualian caj bayaran lewat untuk kumpulan berkenaan.
Bantuan yang sama juga akan diberikan kepada pengusaha tempatan di R&R Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid berkata, pihaknya konsisten dalam usaha membantu rakan niaga sejak pelaksanaan PKP Mac tahun lalu.
“Kami telah menganjurkan pelbagai program latihan dalam talian dan meningkatkan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kebolehan rakan niaga mengadaptasi perniagaan mereka demi mendepani cabaran perniagaan disebabkan penularan Covid-19.
“Pengenalan fungsi ‘Order Disini’ atau fungsi pra-pesanan menerusi Aplikasi PLUS telah direka khusus sebagai pemudah cara bagi menggalakkan pembelian dalam talian seta pesanan bawa pulang di semua R&R,” jelasnya dalam kenyataan.
Tambah beliau, PLUS telah memberikan bantuan pengurangan sewa sejak 2020 susulan pelaksanaan PKP sebelum ini dan sentiasa mencari jalan untuk membantu rakan niaga melalui pendekatan terbaik, walaupun turut terkesan dengan situasi pandemik.
Sementara itu, seorang rakan niaga dan penghulu di R&R Gurun, Razak Zin memaklumkan, PLUS telah menghubungi para peniaga untuk memaklumkan tentang langkah melanjutkan bantuan tersebut sebelum ini.
“Kami amat berterima kasih kepada PLUS, namun berharap agar bantuan sama dapat diteruskan sekiranya larangan merentas negeri masih dikuatkuasakan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 40 peniaga di R&R Gurun arah Selatan dan Utara merayu PLUS memberi moratorium bagi bayaran sewa gerai berikutan perniagaan mereka terjejas sepanjang tempoh PKP sejak tahun lalu.
Malah menurut mereka, terdapat beberapa peniaga di gerai tetap dan sementara telah ditutup kerana tidak mahu menanggung kerugian yang tinggi kerana kekurangan pelanggan. – UTUSAN










