PETALING JAYA: Purata gaji dan upah bulanan pada 2020 menurun sembilan peratus, penurunan kali pertama dicatatkan sejak 2010.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara pada 2020 mengalami momentum yang tidak menetu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi.
Kata beliau, perkara itu menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan serta pembatalan atau pembekuan pengambilan baharu dan seterusnya mengakibatkan penurunan dalam jumlah guna tenaga.
“Selain itu, pelaksanaan langkah-langkah pengekangan penularan Covid-19 yang ketat dalam negara juga telah mengehadkan waktu operasi perniagaan dan menyebabkan berlakunya pengurangan waktu bekerja.
“Justeru, nilai purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh warganegara Malaysia pada 2020 menurun buat kali pertama sejak data siri masa ini dilaporkan mulai 2010.
“Setelah dua tahun berturut-turut merekodkan purata melebih RM3,000, purata gaji dan upah upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Menurut Jabatan Perangkaan, daripada 15 juta pekerja warganegara pada 2020, bilangan penerima gaji dan upah adalah seramai 9.4 juta orang.
Mohd. Uzir berkata, nilai purata gaji dan upah bagi pekerja mahir adalah sebanyak RM4,619 yang mana golongan pengurus menerima purata gaji dan upah tertinggi iaitu sebanyak RM6,479 diikuti oleh profesional (RM5,301) serta juruteknik dan profesional bersekutu (RM3,313).
“Sementara itu, nilai purata bagi pekerja separuh mahir adalah sebanyak RM2,007.
“Dalam kategori ini dapat dilihat bahawa purata gaji dan upah yang diterima pekerja sokongan perkeranian adalah sebanyak RM2,370 sementara pekerjaan separuh mahir yang lain mencatatkan nilai purata lebih rendah daripada RM2,000 iaitu pekerja perkhidmatan dan jualan (RM1,926); pekerja mahir pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan (RM1,547); pekerja kemahiran dan pekerja pertukangan berkaitan (RM1,891) dan operator mesin dan loji dan pemasang (RM1,918),” katanya.
Beliau turut memaklumkan, purata gaji dan upah bulanan bagi kedua-dua strata bandar dan luar bandar menurun, namun nilai purata di bandar mencatatkan penurunan yang lebih besar iaitu sebanyak 9.3 peratus kepada RM3,089. – UTUSAN










