PruBSN lancar pelan perlindungan wanita - Utusan Malaysia

PruBSN lancar pelan perlindungan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) telah melancarkan PrusBSN Anggun, satu pelan perlindungan yang dirangka khas untuk para wanita.

Pengendali takaful nombor satu negara itu menyasarkan pelan tersebut khusus untuk memenuhi keperluan wanita pada peringat hidup yang berbeza.

Menurut syarikat itu, PruBSN Anggun adalah pelan perlindungan menyeluruh, yang menawarkan pelbagai manfaat menarik termasuk perlindungan terhadap penyakit khusus wanita, penjagaan kesihatan mental yang komprehensif, kesihatan dan kesejahteraan wanita, serta ganjaran tunai untuk meraikan pencapaian dan kejayaan dalam kehidupan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dari aspek ekonomi dan sosial. Namun, wanita sering berhadapan dengan pelbagai cabaran pada setiap peringkat kehidupan mereka dalam memastikan kesejahteraan keluarga serta kesihatan diri mereka sentiasa terjaga.

“Melihat keperluan para wanita pada masa kini dan keperluan untuk mendapatkan perlindungan yang komprehensif, kami berbesar hati untuk memperkenalkan PruBSN Anggun.

“Pelan patuh syariah itu memberikan tumpuan eksklusif terhadap keperluan perlindungan wanita, seterusnya membantu mereka memanfaatkan yang terbaik dalam kehidupan. Pelan ini melindungi wanita dan menyokong mereka pada setiap pencapaian penting dalam kehidupan, sama ada bagi wanita yang baru memulakan kerjaya, mahupun apabila mereka sudah bersedia untuk berkeluarga,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya.

Saifulrizal menjelaskan, di bawah Manfaat Peringkat Hidup, pelan itu menyokong dan meraikan pencapaian wanita seperti pembelian hartanah, menunaikan ibadah Haji dan Umrah, dianugerahkan Ijazah Sarjana atau Kedoktoran, melahirkan anak atau mengambil anak angkat, persaraan, mahupun ketika pasangan meninggal dunia.

Ujarnya, kesejahteraan wanita adalah amat penting kerana mereka memainkan banyak peranan pada satu-satu masa dan kadangkala hal itu memberikan kesan kepada kesihatan mental mereka. Adalah amat penting untuk membantu mereka menangani isu kesihatan mental, serta memberikan mereka keyakinan untuk mendapatkan bantuan.

Justeru, katanya, Manfaat Penjagaan Mental menyediakan bayaran balik sehingga 10 peratus daripada jumlah asas perlindungan atau RM5,000, mana-mana yang lebih rendah, bagi rawatan pesakit luar di klinik psikiatri. Manfaat itu melindungi masalah gangguan depresi utama, kemurungan selepas bersalin serta masalah kegelisahan dan lain-lain.

“Keistimewaan pelan itu berbanding pelan-pelan lain yang berada di pasaran ialah, PruBSN Anggun merupakan pelan pertama dalam pasaran yang menampilkan rider Mom Care yang menawarkan manfaat rawatan kesuburan.

“Ia direka khusus untuk melindungi bakal ibu daripada komplikasi ketika kehamilan serta masalah kongenital bagi bayi mereka selepas kelahiran. Ia didatangkan bersama dengan Manfaat Penjagaan Kesuburan yang menyediakan sokongan bagi para wanita untuk merealisasikan aspirasi mereka untuk bergelar seorang ibu,” jelas Saifulrizal.

Pelan PruBSN Anggun boleh dilanggani bermula daripada RM50 sebulan bagi para wanita dan setelah matang, mereka akan menerima jumlah penuh nilai sijil mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN