PETALING JAYA: Teknologi telah menjadi semakin mustahak dan ia merupakan alat penting untuk membantu mempercepat pemulihan perniagaan ketika krisis.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, pandemik memberikan pengajaran berguna kepada semua perniagaan bahawa ketangkasan dan daya tahan adalah perkara yang paling utama.
Dalam ucapan penggulungannya untuk Hari Eksport Kebangsaan (eNED@2021), Mohd. Mustafa menekankan kepentingan adaptasi digital dalam kalangan perniagaan dan Matrade bersedia untuk membantu perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbuat demikian.
“eNED adalah bukti komitmen kami dalam pendigitalan aktiviti penggalakan dan pembangunan perdagangan.
“Banyak lagi yang perlu dilakukan, maka kami sudah menyediakan program-program bagi menyokong aktiviti eksport syarikat Malaysia sepanjang tahun ini,” katanya.
eNED@2021 yang berlangsung secara maya selama tiga hari berjaya mengumpulkan hampir 3,000 syarikat tempatan untuk berkongsi pengetahuan dan kaedah eksport bagi memastikan mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurut Matrade, acara itu melibatkan dialog antara peneraju industri dan perusahaan-perusahaan yang membincangkan proses digitalisasi dan pembangunan mampan, dua agenda eksport penting untuk Malaysia.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong yang turut hadir dalam acara itu berkata, kerajaan gembira dengan bantuan yang diberikan Matrade kepada syarikat-syarikat tempatan.
“Saya menggesa syarikat-syarikat untuk berinovasi, menjadi fleksibel dan biasakan diri dengan perubahan.
“Syarikat mesti mampu beradaptasi dengan perubahan semasa dan menggunakan strategi yang mampan untuk kekal relevan dalam pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










