PETALING JAYA: Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd. (PLL) memeterai perjanjian 10 tahun bagi pembekalan gas asli cecair (LNG) kepada anak syarikat China National Offshore Oil Corporation (CNOOC), CNOOC Gas and Power Trading Marketing Limited.
Perjanjian bekalan jangka panjang tersebut turut melibatkan pembekalan daripada LNG Canada apabila fasilitinya memulakan operasinya dalam pertengahan dekad ini.
Menurut Petronas, perjanjian tersebut adalah untuk pembekalan 2.2 juta tan setahun (MTPA) untuk tempoh 10 tahun, melibatkan gabungan indeks-indeks Brent dan Alberta Energy Company (AECO).
Katanya, perjanjian itu dinilai pada kira-kira AS$7 bilion (RM29.11 bilion) untuk tempoh 10 tahun.
Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas, Shamsairi M. Ibrahim berkata, pihaknya berbangga untuk memperkukuh hubungan sedekad yang dijalin bersama CNOOC melalui perjanjian bekalan tersebut.
“Lebih penting lagi, ia mencerminkan kemudahterimaan pasaran dan pengiktirafan terhadap LNG berindeks AECO ke dalam pasaran LNG terbesar dunia.
“(Ia berlaku) ketika kita berusaha meluaskan penggunaan LNG sebagai tenaga yang lebih bersih dan efektif kos,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Menurut Petronas, indeks AECO merupakan penanda harga peneraju untuk gas asli di Kanada, setanding dengan indeks Henry Hub di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi penanda aras harga gas asli yang digunakan dalam pengindeksan harga LNG.
Katanya, Petronas telah memperkenalkan indeks AECO kepada pelanggannya pada Mei lalu berikutan penjualan kargo spot dari Bintulu kepada pembeli dari Timur Jauh.
“Perjanjian dengan pengimport LNG terbesar China, CNOOC menggambarkan komitmen Petronas untuk memastikan keterjaminan bekalan melalui indeks harga terkemuka yang telus dan stabil seperti AECO dalam pasaran LNG, sementara menyediakan pilihan penentuan harga tambahan kepada pelanggannya.
“Sebaik sahaja ia bersedia untuk beroperasi, projek LNG Canada akan membuka laluan untuk Petronas membekalkan LNG dengan pelepasan rendah gas rumah hijau (GHG) kepada pasaran permintaan utama di Asia,” katanya. – UTUSAN










