PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah mengembangkan Program Food Bank di lebih 400 stesen Petronas di seluruh negara bagi membantu lebih ramai rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Program itu turut dibuka kepada individu, syarikat dan komuniti setempat yang prihatin serta ingin sama-sama membantu golongan yang terjejas akibat pandemik.
Menurut PDB, setakat ini pihaknya telah memperuntukkan bekalan makanan bernilai RM600,000 untuk meluaskan program tersebut bagi mencapai lebih ramai penerima bantuan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, dalam masa yang mencabar ini, pihaknya gembira melihat rakyat Malaysia berkumpul untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Kami menghargai sikap muhibah itu dan bersama-sama kita dapat mengembangkannya untuk kesan yang lebih besar.
“Kami memanfaatkan rangkaian fizikal dan mengaktifkan perjalanan digital kami serta ingin memudahkan semua orang untuk turut serta,” katanya dalam kenyataan.
Azrul memberitahu, PDB tidak mengambil sebarang keuntungan dan penyumbang tidak perlu bimbang kerana setiap ringgit disumbangkan akan diberikan terus kepada penerima.
Justeru beliau berharap dapat menarik penyertaan lebih banyak syarikat dan orang ramai dalam program berkenaan.
“Kami turut bekerjasama rapat dengan syarikat milik kerajaan (GLC) lain, rakan perniagaan kami dan Kumpulan Petronas yang lain bagi memberi impak yang lebih besar.
“Ini adalah permulaan yang menggalakkan dan kami berharap dapat berkongsi lebih banyak informasi terkini tentang inisiatif berkenaan.
“PDB juga sedang meneroka peluang berkolaborasi bagi mengekalkan program itu untuk jangka panjang,” tambah Azrul.
Menerusi ciri-ciri terbaharu di aplikasi Setel, penerima bantuan dan mereka yang mahu menyumbang secara fizikal boleh melakukannya melalui stesen Petronas yang terlibat dengan program berkenaan.
Pengguna Setel juga dapat memilih untuk membeli pek bank makanan dari kenderaan mereka semasa berada di stesen menerusi fungsi Deliver2Me selain boleh menyumbang secara dalam talian dengan selamat dari tempat kediaman masing-masing.
Selain itu, ahli Mesra boleh menebus dan menukar mata yang diperoleh menjadi pek makanan melalui Setel. Pek bank makanan itu juga boleh dibeli dari laman web www.petronasmerchandise.com.
Semua sumbangan dalam talian disokong oleh rangkaian rantai nilai PDB dan akan dihantar ke negeri terpilih di seluruh negara tanpa sebarang kos tambahan dikenakan kepada penyumbang. – UTUSAN










