PETALING JAYA: Pembelian 60 peratus pegangan Bandar Malaysia Sdn. Bhd. (BMSB) oleh IWH CREC Sdn. Bhd. (ICSB) terbatal selepas pihak-pihak yang terlibat gagal memenuhi duluan syarat dalam perjanjian jualan saham terpinda dan dinyatakan semula (RASSA).
Pemilik BMSB, TRX City Sdn. Bhd. berkata, perjanjian itu terbatal pada 21 Mei lalu dan keputusan itu dibuat selepas segala usaha untuk menyelesaikan isu yang timbul gagal.
“TRX City dan ICSB telah bekerjasama mencari penyelesaian untuk mengekalkan usaha sama merealisasikan visi sepunya bagi meneroka potensi Bandar Malaysia.
“Namun, sehingga hari ini, pihak yang terlibat gagal mencapai persetujuan terhadap terma-terma lanjutan tempoh duluan syarat.
“Sehubungan itu, perjanjian itu diambil kira sebagai batal dan tidak sah,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
TRX City merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan manakala ICSB merupakan syarikat usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd (IWH). dengan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn. Bhd.
Menurut TRX City, pihaknya terus komited untuk merealisasikan visi Bandar Malaysia dan apa-apa pelan perniagaan dan komersialisasi seterusnya akan mengambil kira keadaan pasaran dan agenda sosioekonomi negara.
Katanya, ia bagi memastikan Bandar Malaysia terus memainkan peranan sebagai pendaya ekonomi signifikan yang akan meningkatkan manfaat kepada negara.
Syarikat itu turut memaklumkan, China Railway Group Limited akan terus bekerja rapat dengan TRC City untuk sebarang kerjasama masa hadapan di Malaysia dan IWH pula akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia dalam pembinaan negara bangsa. – UTUSAN










