Pengangguran belia membimbangkan - Utusan Malaysia

Pengangguran belia membimbangkan

PEMBUKAAN sektor ekonomi secara beransur-ansur memberi kesan positif kepada kadar pengangguran negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Majikan beku pengambilan bekerja baharu

PETALING JAYA: Pengangguran dalam kalangan beliau berumur antara 14 hingga 24 tahun di negara ini membimbangkan yang masa ini pada kadar 12 peratus.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, keadaan lebih merisaukan kerana kebanyakan majikan pada masa ini mengamalkan polisi pembekuan pengambilan pekerja baharu.

Menurut Syed Hussain, selama lebih 10 tahun kadar pengangguran negara berada pada bawah empat peratus, yang menurut piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa sebagai ekonomi yang mempunyai pekerjaan penuh.

Sehubungan itu katanya, kerajaan tidak boleh terus menutup kebanyakan sektor ekonomi kerana langkah tersebut akan menyebabkan lebih banyak majikan menutup operasi dan lebih ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan.

Ini kerana kata beliau, lebih 32,000 majikan telah gulung tikar dan lebih 107,000 pekerja diberhentikan pada tahun lalu.

Tambahnya, situasi itu semakin parah dengan anggaran Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) lebih 100,000 perniagaan telah menghentikan operasi sejak tahun lalu sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan boleh membuka lebih banyak sektor ekonomi bagi mengurangkan bebanan mental pekerja dan majikan serta membenarkan mereka meneruskan perniagaan.

“MEF berharap agar program vaksinasi negara dapat dipertingkatkan terutamanya untuk pekerja swasta agar mereka dibenarkan bekerja semula,” katanya dalam kenyataan semalam.

Walau bagaimanapun, Syed Hussain menjelaskan, ia tidak bermaksud kerajaan boleh membenarkan mereka yang mendapat dua dos vaksin diberikan lebih kebebasan untuk bergerak.

Kata beliau, keadaan ketika ini tidak sesuai untuk membolehkan rakyat bergerak dengan lebih bebas dan meningkatkan risiko peningkatan kes jangkitan Covid-19.

“Keadaan Covid-19 semasa bukanlah masa terbaik untuk lebih kebebasan kerana sebahagian besar penduduk belum lagi divaksin.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat perlu dilaksanakan untuk mengawal Covid-19 daripada terus merebak.

“MEF menyokong lebih banyak saringan dilakukan untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti Covid-19. Kuarantin dan rawatan sewajarnya diberikan sehingga negara dapat menurunkan kadar jangkitan baharu dan membawanya kepada kadar sifar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN