PETALING JAYA: Sebanyak 31 peratus pekerja milenial dan 35 peratus generasi Z di Malaysia mengakui mengambil cuti disebabkan tekanan dan keresahan akibat pandemik sementara hampir separuh daripada kumpulan tersebut memberi alasan berlainan kepada majikan.
Ia berkemungkinan kerana stigma negatif berterusan tentang kesihatan mental di tempat kerja.
Dapatan itu diterima Deloitte melalui Tinjauan Milenial dan Generasi Z 2021 melibatkan 22,928 responden yang merangkumi 14,655 milenial (lahir Januari 1983 hingga Disember 1994) dan 8,273 generasi Z (lahir Januari 1995 hingga Disember 2003) dari 45 buah negara.
Responden dari Malaysia berjumlah 300 orang melibatkan 200 milenial dan 100 generasi Z.
Menurut Deloitte, kira-kira 40 peratus responden menganggap majikannya tidak menyokong kesihatan mental pekerja ketika pandemik dengan baik dan hanya 32 peratus milenial dan 23 peratus generasi Z menyatakan majikan mereka mengambil tindakan untuk menyokong kesihatan mental dan fizikal masing-masing.
Peneraju Bakat Deloitte Malaysia, Tan Hooi Beng berkata, penting untuk tempat kerja mempromosikan persekitaran yang terbuka dan inklusif yang mana pekerja selesa bercakap tentang tekanan, keresahan atau cabaran kesihatan mental lain yang dialami.
“Ketika sekatan pergerakan berterusan dan masih ramai yang bekerja dari rumah, adalah tanggungjawab kita sebagai majikan untuk menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan pekerja.
“Kita perlu secara berterusan menggalakkan pendengaran yang aktif, keterbukaan, menghormati sempadan satu sama lain dan masa peribadi serta menggalakkan ahli pasukan mengambil cuti tahunan dan lupakan hal kerja semasa bercuti,” katanya dalam kenyataan.
Tinjauan itu turut mendedahkan persepsi golongan milenial terhadap perniagaan di Malaysia jatuh mendadak 79 peratus pada 2019 kepada 58 peratus pada 2020. Bagi generasi Z, 56 peratus daripada responden menganggap perniagaan mempunyai impak yang positif kepada masyarakat.
Sementara itu, 36 peratus milenial dan 53 peratus generasi Z berkata akan meninggalkan pekerjaan mereka jika diberi peluang dalam tempoh dua tahun bekerja manakala 34 peratus milenial dan 21 peratus generasi Z berkata akan kekal dengan majikan sedia ada selama lima tahun.
“Selama ini, tinjauan ini secara konsisten menunjukkan golongan milenial dan generasi Z adalah berpandukan nilai juga berorientasikan tindakan dan mereka mempertanggungjawabkan diri mereka sendiri serta perniagaan.
“Walaupun dalam tahun sukar, mereka terus mendesak perubahan masyarakat yang positif. Perniagaan yang berkongsi visi dan menyokong mereka dalam usaha membentuk masa hadapan yang lebih baik akan menjadi pilihan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Manusia dan Tujuan Deloitte Global, Michele Parmelee. – UTUSAN










