PETALLING JAYA: Pentadbir pusat Skim Persaraan Swasta (PRS) mengumumkan pelantikan Ou Shian Waei sebagai Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta (PPA) baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Datuk Zaiton Mohd. Hassan yang bersara selepas tempoh perkhidmatannya selama sembilan tahun sebagai Pengerusi PPA pertama berakhir.
PRS dalam kenyataan memberitahu, Shian Waei merupakan Pengarah Kepentingan Awam dalam lembaga pengrah urus tadbir PPA sejak ia mula ditubuhkan.
Beliau juga merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad dan Ahli Lembaga FIDE FORUM.
Jelas kenyataan itu, Shian Waei juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah di Alliance Financial Group Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad serta Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AIG Malaysia.
Beliau bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar Negara syarikat gergasi pengkomputeran IBM pada Januari 2010, selepas hampir 30 tahun berkhidmat.
“Pelantikan Shian Waei bakal membawa bersama kepimpinan dan pengalaman luas beliau bagi memastikan PPA terus memegang mandat bagi melindungi kepentingan ahli PRS serta meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan perancangan persaraan,” katanya.
Sementara itu, Shian Waei terharu dengan kepercayaan diberikan kepadanya bagi memperkuatkan lagi peranan PPA sebagai pentadbir PRS.
Jelasnya, PPA akan terus melindungi kepentingan ahli PRS dan mengembangkan industri PRS bersama-sama lapan penyedia PRS dan Suruhanjaya Sekuriti.
“Saya mewakili pihak PPA mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Zaiton, di mana di bawah kepimpinan beliau sejak dari mula ditubuhkan pada 2012, telah membawa PPA dan industri PRS ke suatu tahap seperti yang kita lihat hari ini.
“Setakat 31 Mei 2021, terdapat lebih setengah juta ahli PRS dengan jumlah Nilai Aset Bersih (NAB) sebanyak RM5.1 bilion,” katanya.
PPA adalah pentadbir pusat untuk PRS. PPA adalah badan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan ditubuhkan untuk mentadbir serta mempromosikan pertumbuhan industri PRS. Peranan penting PPA adalah untuk menguruskan akaun berpusat seumur hidup ahli PRS.
PRS adalah skim simpanan dan pelaburan sukarela jangka panjang yang direka untuk membantu rakyat Malaysia menyimpan lebih banyak untuk persaraan mereka.
Terdapat lapan penyedia PRS yang menawarkan 57 pilihan dana persaraan, di mana individu boleh memilih untuk melabur berdasarkan keperluan persaraan, matlamat dan tahap risiko mereka sendiri. – UTUSAN










