OPR kekal 1.75 peratus - Utusan Malaysia

OPR kekal 1.75 peratus

1mdb
MPC memutuskan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas setelah mengambil kira prospek pertumbuhan dalam negara yang terus berdaya tahan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Ini kerana pemulihan ekonomi global bertambah kukuh, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perkhidmatan. 

Walau bagaimanapun, BNM dalam kenyataan menjelaskan, kadar pemulihan adalah berbeza-beza antara negara. 

Menurut kenyataan, negara-negara yang mencapai kemajuan yang lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin telah dapat melonggarkan langkah-langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri pulih dengan segera. 

“Di beberapa negara maju, sokongan fiskal dan monetari yang besar juga menyokong momentum pemulihan yang lebih kukuh, meskipun aktiviti di beberapa negara terganggu disebabkan oleh langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat bagi mengekang penularan semula Covid-19. 

“Keadaan kewangan kekal menyokong pertumbuhan. Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara,” kata kenyataan itu.

BNM menjelaskan, bagi ekonomi Malaysia, kegiatan ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama tahun 2021 berterusan sehingga bulan April seperti yang dicerminkan oleh penunjuk terkini, terutamanya eksport, perbelanjaan runcit dan keadaan pasaran pekerja. 

Walau bagaimanapun, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara untuk mengekang penularan semula kes Covid-19 akan memperlahankan momentum pertumbuhan. 

“Tahap kesan daripada pelaksanaan langkah-langkah ini kepada ekonomi sangat bergantung pada ketegasan dan tempoh langkahlangkah pembendungan.

“Walau bagaimanapun, kebenaran yang terus diberikan kepada sektor ekonomi perlu untuk beroperasi, meskipun pada kapasiti yang berkurang, serta kemampuan yang lebih tinggi untuk menyesuaikan diri bekerja dari jarak jauh, penggunaan automasi dan pendigitalan akan mengurangkan sebahagian daripada kesan sekatan pergerakan. 

“Pelbagai pakej sokongan dasar akan meringankan sedikit beban kewangan yang ditanggung oleh isi rumah dan perniagaan,” jelasnya.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

Selain itu, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi. 

Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN