PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpendapat, kadar dasar semalam (OPR) harus dikekalkan untuk mengelak berlaku perangkap kecairan dalam pasaran.
Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, perangkap kecairan berlaku apabila rakyat tidak membelanjakan duit di pasaran sebaliknya menggunakan duit lebihan atau pinjaman untuk melunaskan hutang dan membeli saham.
Beliau berkata, kedua-dua aktiviti itu tidak akan membantu dari segi kecairan di pasaran dan meningkatkan transaksi perniagaan.
“Sekarang ini, OPR dah cukup rendah, jadi beban faedah ke atas pinjaman tidaklah tinggi. Yang paling kritikal ialah keupayaan rakyat untuk membayar prinsipal dan faedah (pinjaman atau pembiayaan) setiap bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual bermesyuarat Khamis ini antara lain untuk menentukan kadar OPR dikekalkan atau sebaliknya.
Kali terakhir MPC menurunkan kadar OPR ialah pada 5 Mei 2020 apabila ia diturunkan 25 mata daripada 2.0 peratus kepada 1.75 peratus dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19.
Mengikut perangkaan BNM, kadar OPR 1.75 peratus ketika ini adalah yang terendah sejak 2004 yang ketika itu di paras 2.75 peratus.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kadar OPR yang dijangka akan kekal pada 1.75 peratus, adalah kadar yang amat rendah.
Beliau berpendapat, berdasarkan iklim ekonomi semasa, tidak banyak yang boleh mempengaruhi BNM sama ada untuk mengekal atau menurunkan lagi kadar itu.
“Itu kerana, individu dan firma tiada ruang untuk menterjemahkan pinjaman atau pembiayaan menjadi pelaburan baharu. Mereka tiada peluang untuk melakukan aktiviti ekonomi. Namun, jika ada yang mengambil peluang, mungkin lebih kepada pinjaman dan pembiayaan bersifat penggunaan,” katanya.
Baharom memberitahu, limpahan akibat pengurangan kos pinjaman atau pembiayaan mungkin dapat dirasai dan itu akan menyebabkan rakyat atau perniagaan mempunyai pendapatan berlebihan yang boleh digunakan.
Jelasnya, waktu keadaan normal, sebarang penurunan OPR akan mempengaruhi kadar faedah penanda aras bank perdagangan, dan itu akan menyebabkan kerancakan permohonan baharu pinjaman dan pembiayaan oleh individual atau syarikat akibat pengurangan kos pinjaman dan pembiayaan.
Ujarnya, sementara keadaan masih getir dan sukar, sebarang polisi monetari, seperti penurunan kadar OPR mempunyai kesan yang amat minima dan polisi fiskal (penurunan cukai atau perbelanjaan kerajaan) akan lebih berkesan dan bermakna.
Kelmarin, Ahli ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim berkata, MPC tiada keperluan untuk menurunkan OPR pada masa ini mengambil kira rangsangan fiskal Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang telah diperkenalkan kerajaan bagi menyokong ekonomi negara menghadapi suasana mencabar ketika ini. – UTUSAN










