Nisbah penduduk Malaysia, 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan - Utusan Malaysia

Nisbah penduduk Malaysia, 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan

Malaysia mempunyai penduduk pelbagai kaum dengan budaya masing-masing, yang hidup aman dan makmur. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah penduduk Malaysia pada 2021 dianggarkan 32.7 juta berbanding 32.6 juta tahun lalu dengan kadar pertumbuhan tahunan 0.2 peratus.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, penduduk lelaki melebihi perempuan iaitu masing-masing 16.8 juta dan 15.9 juta.

“Nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Bagi tempoah 2020 hingga 2021, nisbah jantina bagi warganegara dan bukan warganegara masing-masing kekal pada 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan penduduk warganegara kekal stabil pada 1.0 peratus dengan pertambahan penduduk daripada 29.7 juta pada 2020 kepada 30 juta tahun ini.

Komposisi penduduk warganegara tahun ini katanya, meningkat kepada 91.8 oeratus iaitu peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding 2020 sebanyak 91.1 peratus.

Manakala komposisi penduduk bukan warganegara terus menurun daripada 8.9 peratus kepada 8.2 peratus bagi tempoh sama.

Katanya, ia selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Tambah beliau, komposisi penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada 2021 menurun kepada 23.0 peratus berbanding 23.3 peratus tahun lalu.

Manakala, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.7 peratus pada 2020 kepada 69.6 peratus 2021.

“Ini disebabkan penurunan penduduk bukan warganegara yang kebanyakan terdiri daripada pekerja asing. Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.0 peratus kepada 7.4 peratus bagi tempoh yang sama. Umur penengah turut meningkat daripada 29.3 tahun pada 2020 kepada 29.6 tahun 2021,” katanya.

Mohd. Uzir berkata, di Malaysia, peratusan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas mencatatkan peningkatan tahun ke tahun.

“Berdasarkan unjuran penduduk 2010-2040, Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan penduduk berumur 60 tahun ke atas mencecah 15.3 peratus daripada
jumlah keseluruhan penduduk. Pada 2021, penduduk berumur 60 tahun dan lebih meningkat kepada 3.6 juta (11.2 peratus) berbanding 3.5 juta (10.7 peratus) pada 2020,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN