Negara maju perlu kongsi lebihan vaksin untuk percepat pertumbuhan global - Utusan Malaysia

Negara maju perlu kongsi lebihan vaksin untuk percepat pertumbuhan global

BANK DUNIA - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan global akan melonjak jika negara maju berkongsi lebihan vaksin mereka untuk membantu negara-negara membangun yang aktiviti ekonominya terhenti kerana kekurangan vaksin, kata Presiden Bank Dunia, David Malpass.

Bercakap kepada wartawan dalam sesi soal jawab dalam talian khas, Malpass berkata, Bank Dunia menyeru negara G20 berkongsi dan membantu dalam pembiayaan kos vaksin dalam usaha menutup jurang yang ada serta menghapuskan semua halangan import eksport vaksin.

“Kekurangan bekalan semasa dan kekangan logistik bermakna banyak negara di rantau ini mungkin tidak dapat memvaksin rakyat mereka sepenuhnya sehingga 2024, malah dalam kemunculan varian baharu.

“Bank Dunia telah memberikan pembiayaan vaksin sebanyak AS$ 1.1 bilion (RM4.62 bilion) untuk negara-negara di Asia Timur dan Pasifik seperti Kemboja, Indonesia, Mongolia, Papua New Guinea dan Filipina,” jelasnya.

Buat masa ini, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 di rantau Asia Timur (tidak termasuk China) mungkin lebih perlahan berbanding ramalan Bank Dunia yang sudah beberapa kali diunjur rendah iaitu sebanyak empat peratus pada Jun (4.4 peratus pada Mac, 4.9 peratus pada Januari dan 7.5 peratus, Jun 2020).

Ia berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika kadar vaksinasi yang perlahan berbanding jangkaan di beberapa negara di rantau ini, selain konflik politik yang berterusan di Myanmar.

Termasuk China yang diunjur tumbuh 8.5 peratus pada 2021, meningkat berbanding unjuran 7.9 peratus pada Januari, wilayah ini dijangka berkembang sebanyak 7.7 peratus tahun ini, lebih cepat daripada unjuran 7.4 peratus yang dibuat pada Januari.

Wakil presiden serantau Bank Dunia untuk Asia Timur dan Pasifik, Victoria Kwakwa bagaimanapun menambah, penglibatan serantau yang dilakukan oleh ASEAN dapat membantu mengurangkan pergolakan di Myanmar yang berpunca daripada rampasan kuasa tentera pada 1 Februari.

Selain Myanmar, negara-negara Asia Timur dan Pasifik lain yang turut menyaksikan ramalan KDNK 2021 mereka disemak turun oleh Bank Dunia termasuk Thailand, Malaysia, Filipina, Vietnam, Vanuatu, Timor-Leste, Tuvalu, Kiribati dan Kepulauan Solomon.

Mengenai pemulihan daripada Covid-19 yang tidak sekata, Malpass memaklumkan, Bank Dunia menjangkakan Covid-19 akan mendorong 29 juta orang lagi bakal hidup dengan pendapatan kurang dari AS$ 5.50 (RM23.11) sehari pada akhir tahun ini.

Menteri penyelaras untuk Program Imunisasi Covid-19 negara, Khairy Jamaluddin sebelum ini mengecam Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX) yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai ‘kegagalan besar,’ sambil menambah bahawa Bank Dunia perlu menjadi suara kepada negara-negara membangun untuk ekuiti vaksin di pentas global.

Menurut data di laman web GAVI Alliance, COVAX telah memberikan 118 juta dos vaksin kepada 135 peserta iaitu hanya sembilan peratus daripada dua bilion yang disasarkan untuk diedarkan pada akhir tahun 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN